fbpx
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Balik Pulau, hari ini. Foto oleh SAFINA RAMLI

Guru lelaki kelar isteri diberi ikat jamin, dilarang dekati mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh isterinya dengan sebilah pisau, pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat selepas mahkamah menerima laporan psikiatri dari Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak yang menyatakan bahawa tertuduh layak dan mampu untuk dibicarakan.

Sebelum ini, ketika pendakwaan dijalankan pada 4 September lalu, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan selain tidak mengingati nombor kad pengenalannya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan membunuh isterinya berusia 28 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira pukul 5.45 pagi, 27 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Amira Shahidani manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.

Asma Amira tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh selepas mengambil kira keselamatan mangsa dan saksi-saksi kejadian.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhaimin berkata, anak guamnya memohon jaminan bagi membolehkannya terus berkhidmat sebagai penjawat awam.

“Muhammad Nazmi telah didiagnosis mengalami major depressive disorder (MDD) dan perlu mengambil ubat jenis Mirtazapine setiap hari. Kami memohon agar dia diberikan jaminan dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat.

“Sekiranya jaminan tidak diberikan, anak guam saya berisiko ditamatkan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan masa depannya sebagai penjawat awam,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 selain perlu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai serta dilarang mendekati mangsa. Kes kemudian ditetapkan pada 6 Januari depan untuk serahan dokumen.

Sementara itu, di luar mahkamah, peguam bela, Yazid berkata, wang jaminan akan dibayar oleh keluarga anak guamnya dan dia tidak akan tinggal berdekatan dengan isterinya seperti mana arahan mahkamah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI