fbpx
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (tiga, kiri) menyampaikan hadiah kepada pasukan SK Pekan Tongod pada pertandingan akhir.

Kelab Koko Kraf Nestle gilap bakat seni anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELAB Koko Kraf merupakan sebuah platform yang memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan kreativiti dan imaginasi mereka melalui seni kolaj, hasil kerjasama Kementerian Pendidikan bersama Nestle Malaysia bermula tahun lalu.

Tahun ini, program tersebut telah diperluas untuk melibatkan lebih 12,500 pelajar sekolah rendah di seluruh Malaysia, termasuk satu pasukan dari Sabah yang berpeluang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Peringkat Akhir Kebangsaan dan berjaya meraih tempat ketiga baru-baru ini.

Pasukan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tongod, dianggotai oleh Elleksia Juifi, Rhiana Holy A Richerd dan Ivy Evyanthy Morley menggunakan kertas berwarna dan potongan daripada majalah untuk menghasilkan kolaj yang menggambarkan pembangunan Sabah dengan bangunan moden dan pencakar langit, melambangkan kemajuan serta pertumbuhan.

Guru pengiring mereka, Jumriati Samsul berkata, program seperti Kelab kraf Koko selaras dengan apa yang dipelajari dalam mata pelajaran Seni Visual di sekolah, namun pelajarnya agak jarang terdedah kepada bahan atau idea kreatif lain memandangkan kemudahan agak terhad di luar bandar.

“Melalui pertandingan ini, mereka berpeluang mencuba pelbagai bahan dan teknik baharu di luar silibus pembelajaran biasa.

“Ia membuka minda mereka untuk meneroka kreativiti secara lebih meluas dan menyeronokkan, serta memperkenalkan mereka kepada dunia seni dan kraftangan yang lebih besar,” katanya.

Kosmo! berpeluang menemu bual Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Breakfast Cereals Malaysia, Philip Joe berhubung visi program tersebut pada masa depan.

KOSMO!: Kelab Koko Kraf telah berkembang pesat sejak dilancarkan sebagai projek perintis pada 2024. Apa yang mendorong pertumbuhannya?
Philip: Pertumbuhan ini memang sangat menginspirasikan. Daripada 3,600 murid di 534 sekolah tahun lalu, kini kami telah berjaya melibatkan lebih 12,500 murid daripada 925 sekolah di 149 daerah seluruh negara.

Ia peningkatan penyertaan hampir tiga kali ganda, membuktikan program ini mendapat sambutan positif daripada kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Kami percaya kejayaan ini didorong oleh keunikan program yang menggabungkan keseronokan, kreativiti dan pembelajaran dalam cara yang bermakna.

Melalui Kelab Koko Kraf, murid digalakkan untuk menonjolkan imaginasi mereka, bekerjasama dengan rakan-rakan dan membina keyakinan diri melalui aktiviti hands on.

Sokongan kuat daripada Kementerian Pendidikan juga memainkan peranan penting. Ia memastikan program ini selaras dengan visi pendidikan holistik dan inklusif negara agar setiap murid, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, berpeluang menyertai serta mengembangkan daya kreatif mereka.

Tema tahun ini, ‘Masa Depan Negaraku’ menggalakkan murid membayangkan masa depan Malaysia melalui karya seni. Apa perkara yang paling menonjol daripada idea mereka?

Yang menarik perhatian kami ialah imaginasi luas dan rasa optimis kanak-kanak ini. Mereka memba­yangkan Malaysia dengan lebih banyak ruang hijau, penemuan baharu, dan masyarakat hidup bersama secara harmoni.

Ada yang melukis kereta terbang dan bandar futuristik dikelilingi pokok-pokok, menunjukkan bahawa mereka sudah membayangkan masa depan yang memajukan negara sambil menjaga alam sekitar.

Kami juga terharu melihat kreativiti menyerlah dari seluruh pelosok negara. Pasukan dari SK Pekan Tongod contohnya, menzahirkan harapan mereka terhadap Sabah yang moden dan progresif melalui hasil seni mereka.

Ia mengingatkan kita bahawa setiap kanak-kanak mempu­nyai pandangan yang unik, dan seni boleh menjadi wadah untuk mereka meluahkan perasaan dan idea.

Lebih daripada sekadar karya seni, semangat dan keterujaan mereka mengingatkan kami sebab utama program ini diwujudkan, iaitu untuk mencetuskan kegembiraan, keyakinan dan rasa ingin tahu dalam diri generasi muda.

Bagaimanakah Nestle me­rancang untuk memperkembangkan Kelab Koko Kraf pada masa hadapan?
Kami berbangga melihat ­sejauh mana Kelab Koko Kraf telah berkembang dalam tempoh dua tahun ini, dan kami komited untuk meneruskan perjalanan ini.

Matlamat kami ialah untuk menjangkau lebih banyak sekolah di seluruh Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat kemudahan, agar lebih ramai murid dapat merasai pengalaman platform kreatif ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN