PETALING JAYA – Tiga kanak-kanak Tabika Kemas bakal membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa apabila terpilih menyertai pertandingan robotik STEAMCUP Asia 2026 di Hanoi, Vietnam pada 30 hingga 31 Mei ini.
Mereka ialah Gibran Abbas Syafiq Syazuan dan Haura Mireille Muhamad Khairnaz dari Tabika Kemas Taman Rambai Indah, Selangor serta Mikayla Humaira Mohd. Hamza dari Tabika Kemas Bunga Rafflesia, Putrajaya.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, penyertaan itu merupakan kali pertama kanak-kanak Tabika Kemas menyertai pertandingan robotik di luar negara.
“Tahun lalu pada kejohanan sama di Kuala Lumpur, seramai 11 kanak-kanak Tabika Kemas mengambil bahagian dengan enam daripadanya muncul juara manakala lima lagi meraih tempat kedua dan ketiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hanafiah berkata, delegasi Kemas dijadual bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Hanoi pada Jumaat ini bersama dua guru pengiring sebelum pertandingan berlangsung selama dua hari.
Menurutnya, pertandingan anjuran STEAMCUP Asia Organizing Committee dan STEAM Cup Vietnam 2026 itu menghimpunkan 201 peserta dari beberapa negara serantau termasuk Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
“Penyertaan tersebut selari dengan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas 2023–2032 yang menyokong agenda pendidikan nasional menerusi Dasar Pendidikan Digital.
“Usaha ini memperkukuh komitmen Kemas dalam menyediakan kanak-kanak kepada ekosistem pembelajaran masa hadapan yang lebih digital, inklusif dan berdaya saing,” katanya. – KOSMO! ONLINE














