PETALING JAYA – Seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union, Cyberjaya, terlepas peluang untuk mewakili negara ke pertandingan akhir Azan Eid Show di Sydney, Australia semalam selepas lewat menerima makluman daripada penganjur pertandingan azan di aplikasi Instagram yang dia berjaya melepasi sesi penjurian.
Nur Muhammad Zaim Muhammad Alif Nur, 10, menerima makluman tersebut pada 29 Mei lalu selepas bapanya menghantar rakaman azan kepada pihak penganjur tiga hari sebelum itu untuk dinilai.
Menurut bapanya, Muhammad Alif Nur Mohammad Yunus, 37, disebabkan itu, agak sukar untuk mendapatkan visa ke Australia kerana proses untuk kelulusan visa biasanya mengambil masa kira-kira seminggu.
Selain itu katanya, kos yang diperlukan untuk menghantar anaknya ke pertandingan tersebut sekitar RM3,000.
Ini katanya, turut menjadi kekangan buatnya untuk membuat persiapan dalam tempoh singkat.
“Faktor utama kami tidak dapat ke Australia untuk sertai pertandingan azan kerana kos perjalanan, urusan visa dan tempoh persiapan terlalu singkat,” kataya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, ini kali pertama dia memberi peluang kepada anaknya untuk menyertai pertandingan di luar negara selepas terlihat iklan mengenai pertandingan itu di Instagram.
“Memang tak sangka Zaim terpilih ke peringkat akhir untuk mewakili Malaysia,” katanya.
Katanya, anaknya yang mula menyertai pertandingan azan sejak berada di tahun satu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya meraih beberapa kemenangan dalam pertandingan sebelum ini.
Ujarnya, anaknya itu aktif menyertai program komuniti dan karnival setempat selain pernah muncul naib juara Karnival Fitrah Kasih Murid Daerah Sepang baru-baru ini.
Katanya, pertandingan paling jauh pernah disertai anaknya sebelum ini di Kuching, Sarawak.
“Saya tidak kejar Zaim jadi juara di mana-mana. Saya cuma harap dia semakin mencintai azan dan al-Quran. Menang atau kalah itu perkara kedua.
“Kalau ada peluang selepas ini, saya restu. Saya mahu dia belajar disiplin, berani berdepan di khalayak ramai dan menjadi duta kecil Malaysia yang membanggakan negara,” katanya.














