Peserta dari Thailand, China dan Lithuania dalam IMCT Tasik Kenyir.

International Monsoon Casting Tournament ke pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Monsun Timur Laut datang lagi, ini bermaksud Laut China Selatan tidak lagi sesuai untuk aktiviti memancing. Namun di Tasik Kenyir, Terengganu, ia merupakan musim yang ditunggu-tunggu kerana inilah masa terbaik untuk memburu ikan-ikan pemangsa.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pancingan bukan sahaja dapat dinikmati oleh pemancing tempatan, malah pengilat luar khususnya melalui penyertaan dalam International Mon-
soon Casting Tournament (IMCT).

Sekitar awal millenium, ia bermula hanya sekadar trip-trip memancing di musim hujan yang dirancang oleh beberapa orang pemancing ‘gila’.

Mereka memilih untuk berhujan sambil melempar gewang di suak-suak dan air terjun yang terbit akibat hujan berterusan.

Ketika itu, perbincangan banyak berlaku dalam forum meman­cing online, antaranya Lubuk.Net yang diketuai oleh kartunis Ujang (Ibrahim Anon) dan KNF (Kaki Ngail Forum) dikepalai oleh Papamafia (Mohd. Rozi).

Laman Facebook, WhatsApp, YouTube, Instagram dan TikTok bukan sahaja belum popular ketika itu, malah ada yang masih belum wujud lagi.

Target mereka ketika itu han­yalah untuk berseronok sambil menikmati sambaran ikan yang lebih frenzy berbanding waktu lain.

Ia bukan pertandingan, jauh sekali untuk mengangkat sehingga ke pe­ringkat antarabangsa, sememangnya itu semua tidak terlintas dalam fikiran.

Lumrah kumpulan pemancing, mereka memang suka berkongsi cerita. Kisah pancingan musim hujan di Tasik Kenyir tersebar luas ke seluruh pelosok tanah air sehingga membuatkan penyertaan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Tahun 2009 menjadi titik pen­ting apabila program memancing pada musim hujan pertama kali dijenamakan dengan akronim MCT bermaksud Monsoon Casting Trip.

Strategik

Bagi keselesaan semua peserta, khususnya yang datang dari jauh, penganjuran dibuat dengan lebih tersusun dan strategik. Sememangnya sentiasa ada kelemahan di sana sini. Namun, atas nama persahabatan, penganjur dan peserta sentiasa saling menerima serta memaafkan.

Kesungguhan tersebut berjaya menarik minat pihak industri, Daiwa Malaysia dan ia wajar diberikan kredit kerana menjadi penaja utama hingga melayakkan MCT dinaik taraf sebagai Monsoon Casting Tournament untuk kali pertama pada tahun 2011.

Berubah pendekatan kepada program berorientasikan pertandingan tetapi tetap mengekalkan prinsip persahabatan sebagai keutamaan.

Persahabatan yang terjalin antara pemancing di seluruh negara telah mengorak langkah MCT dengan lebih jauh. Melalui siri lake tour, MCT memperluaskan penganjuran seumpamanya di luar Terengganu.

Antaranya adalah MCT Lake Tour Giant Snakehead Challenge 2015 di Royal Belum, Tasik Temenggor, Perak dan MCT Lake Tour Peacock Bass Challenge 2016-2018 di Kampung Beng, Tasik Chenderoh.

Jana ekonomi

Sehingga ke tahap ini, MCT bukan sekadar hiburan dan perhimpunan pemancing di musim tengkujuh. Kehadiran pemancing membawa bersama rezeki kepada ekonomi setempat. Pengusaha houseboat, homestay, kedai makan, tekong dan guide memancing antara yang mendapat ‘durian runtuh’ setiap kali penganjuran MCT.

Suasana MCT Lake Tour Peacock Bass Challenge di Kampung Beng, Tasik Chenderoh, Perak.

Memilih untuk tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian di peringkat kebangsaan, MCT telah meneroka kemungkinan untuk melonjak nama Tasik Kenyir sebagai lokasi memancing pilihan ke peringkat serantau.

Hasilnya, MCT berjaya membuka gelanggang di peringkat ASEAN bermula pada tahun 2015 dengan nama Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT).

Begitu membanggakan apabila AMCT berjaya menarik penyertaan pemancing bukan sahaja dari negara jiran Singapura, Thailand dan Brunei, malah melibatkan kehadiran pengilat dari Korea Selatan dan China.

Lebih menggembirakan, AMCT membuka ruang kerjasama dengan Korea Sportfishing Association (KSA) dalam program Anglers Exchange.

Program pertukaran peman­cing itu membuka ruang kepada pemancing Malaysia yang layak dan terpilih untuk mewakili negara dalam KSA International Tournament di Tasik Andong, Korea Selatan. Ia satu kerjasama yang berlanjutan sehingga hari ini.

MCT juga tidak terlepas daripada ujian pendemik Covid-19. Demi membendung menularan pandemik, edisi 2021 hanya dianjurkan sebagai Kenyir Monsoon Casting Tournament (KMCT) dengan pematuhan prosedur yang ditetapkan. Itu semua bukti ke­sungguhan komuniti pemancing demi kelangsungan MCT.

Antarabangsa

Selepas tamat pandemik, sekreta­riat penganjur mengorak langkah lebih berani dengan membuka gelanggang ke peringkat antarabangsa.

Ikan peacock bass menjadi target utama di Tasik Chenderoh, Perak.

Bermula penganjuran edisi ke-14 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Disember 2023, IMCT diangkat sebagai jenama baharu menggantikan AMCT, dari peringkat ASEAN ke pentas global.

Dengan usaha dan sokongan pelbagai pihak, IMCT benar-benar berjaya mengibar nama Malaysia, khususnya Tasik Kenyir ke peringkat antarabangsa. Ia melibatkan penyertaan dari negara tersohor dunia sport fishing iaitu

Amerika Syarikat dan Jepun, di samping mengekalkan penyertaan rakan serantau dari Asia Tenggara serta Asia.

Sepanjang perjalanan tersebut, sekretariat penganjur sama ada dengan nama MCT, AMCT, KMCT atau IMCT, tidak pernah lupa tentang peranan mereka dalam memastikan kelestarian sumber perikanan terus terpelihara.

Justeru, program pelepasan benih ikan merupakan antara pengisian penting dalam beberapa siri penganjurannya.

Dengan sasaran pelepasan se­­hingga mencecah angka sejuta, pelbagai spesies ikan asli penghuni tasik telah dan akan terus dilepaskan sebagai acara simbolik. Antaranya lampam, temoleh, jelawat, kelah dan kerandang.

Pasti tidak ketinggalan adalah ‘sang serigala’ tasik yang menjadi buruan pemancing iaitu sebarau.

Tidak cukup dengan usaha tersebut, sekretariat penganjur tidak pernah lalai dengan tanggungjawab untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran kelestarian kepada peserta.

Amalan tangkap dan lepas telah diperkenalkan secara berperingkat dalam setiap siri penganjuran sebelum ia diwajibkan sepenuhnya.

Hari ini, semua peserta telah maklum, ikan yang berjaya dipancing tidak perlu dibawa ke meja penjurian. Memadai untuk tangkap, ukur, gambar dan lepas.

IMCT 2025

Bersempena dengan kedatangan Monsun Timur Laut, IMCT sekali lagi akan membuka gelanggang secara rasmi pada 12 hingga 15 Disember ini. Bagi edisi ke-17 ini, sekretariat IMCT memilih untuk bekerjasama dengan Terengganu Fishing Association (TFA) sebagai rakan strategik.

Sambutannya begitu memberangsangkan, kuota penyertaan yang dibuka kepada 200 pemancing telah penuh lebih awal daripada jangkaan.

Lebih menggembirakan, ia turut melibatkan penglibatan 50 peman­cing antarabangsa dari Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat.

Ini termasuk penyertaan di bawah program Anglers Exchange yang me­libatkan enam peserta Korea Selatan dan dua dari Amerika Syarikat.

Banyak permohonan penyertaan daripada individu perseorangan atau pasukan terpaksa ditolak.

Langkah itu bagi memastikan layanan terbaik dapat diberikan kepada peserta, di samping mematuhi standard penganjuran di peringkat antarabangsa.

Penganjuran IMCT tidak pernah berorientasikan keuntungan dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan yuran penyertaan pada kadar ‘mesra pemancing’.

Perjalanan belum berakhir

Berdasarkan perjalanan panjang ini, jelas IMCT bermula daripada idea sederhana komuniti pemancing yang terus ditambah baik sehingga mencapai tahap kejohanan antarabangsa yang mengangkat nama Tasik Kenyir, Terengganu dan Malaysia.

Ia adalah hasil komitmen pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, NGO atau swasta seperti Pelancongan Terengganu, Ketengah, Tourism Wilayah Timur, Jabatan Perikanan, Pejabat daerah Hulu Terengganu, Perhilitan, Bomba,

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin Tasik Kenyir, Pejabat Kesihatan, Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Persatuan Malim Tasik Kenyir dan Kenyir Sportfishing & Recreation Center.

Tidak terkecuali sokongan rakan industri antarabangsa dan tempatan termasuk Daiwa, EXP, TCE Tackles, Yamaha, Mercury, Khairol Fiber, Gigamate, OAG WorldWide, Epolcraft, Poktam Caster, Ozmy, Ikanz, Rentaka, Titan Blade, MFA, Kail, Wan Muse Tackle, Seaguard.My, Monstercraft International, Jenoba Outdoor, Mayeep,

Senses, Boatyard.my, Frenzy Outfitters (USA), Nayo Narattiwat (Thailand), Casa Kersani, KSRC dan banyak lagi.

Selain itu, pihak media menjadi medium promosi dan tentunya komuniti pemancing di pelbagai peringkat sebagai penggerak utama.

Pada tahap ini, IMCT bukan sekadar acara pemancing tetapi aset negara yang memerlukan sokongan bersepadu semua pihak untuk terus mengorak langkah ke hadapan demi Malaysia tercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN