fbpx
BAS persiaran milik syarikat Painah Travel yang terperangkap dalam kejadian banjir besar di Hatyai, Thailand, bulan lalu.

Banjir Hatyai: Bas tenggelam seminggu, kos baiki cecah RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Seorang pengusaha syarikat pelancongan di sini terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM100,000 bagi membaik pulih bas persiaran yang ditenggelami banjir besar di Hatyai, Thailand, bulan lalu.

Menurut Saryati Suwarno, 54, bas persiaran milik syarikatnya, Painah Travel berjaya dibawa keluar dari Thailand dan dicuci di Kedah sebelum dihantar ke Perak untuk kerja-kerja menukar kerusi yang telah digenangi air banjir selama hampir seminggu.

Katanya, selesai kerja-kerja menukar kerusi, bas persiaran akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk memeriksa sistem pendawaian bagi memastikan tiada sebarang masalah untuk digunakan selepas ini.

“Alhamdulillah, ejen bas tempat kami beli bas ini dengan harga RM700,000 lima bulan lalu memberikan kerjasama dan bertanggungjawab dengan segala kerosakan yang berlaku.

“Secara keseluruhan kos bagi membaik pulih termasuk mengganti kerusi yang baru lebih RM100,000 selain membayar RM2,800 bagi menunda bas sebanyak tiga kali dari Thailand ke Kedah, Perak dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran dirumahnya di Kampung Parit Kudus, di sini, petang semalam.

Tambah Saryati, dia bersama suaminya, Mohd Nasir Abdullah, 57, telah membawa 40 pelancong terdiri daripada warga usia emas melawat Hatyai pada 20 hingga 23 November sebelum banjir besar melanda pada 22 November.

Mereka semua terperangkap selama lima hari sebelum berjaya dibawa keluar dari Thailand pada 27 November dan selamat sampai ke Pontian pada pagi hari Jumaat lalu dengan menggunakan bas persiaran lain.

“Saya masih trauma lagi apabila memikirkan kejadian tersebut, pada tahun ini saya telah tiga kali membawa pelancong masuk ke Hatyai tetapi tidak pernah melalui musim banjir seperti ini.

“Dah macam tsunami, hujan yang lebat beserta angin kuat menyebabkan banyak kereta terbalik dan hanya dapat dilihat setelah air mulai surut,”ujarnya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pelancongan.

Ditanya adakah serik untuk membawa pelancong masuk ke Hatyai, Saryati berkata, buat masa ini dia ingin melupakan kejadian tersebut dan memberikan tumpuan kepada melancong di dalam negeri.

“Ada beberapa tempahan bermula 4 hingga 7 Disember ke Langkawi, 11 hingga 14 Disember juga ke Langkawi dan 25 hingga 27 Disember ke Kelantan akan diuruskan selepas ini.

“Memandangkan bas kami akan siap sebulan lagi, kami akan menggunakan bas persiaran lain kerana tempahan hotel dan juga bayaran telah dibuat oleh pihak penganjur,”jelasnya lagi.

Namun katanya, jika berlaku banjir, lawatan tersebut akan ditangguh sepertimana perbincangan dengan penganjur bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI