BANGKOK – Polis Thailand membuat permohonan maaf kerana terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengalihkan 12 kenderaan yang terkandas di sebuah persimpangan di Hatyai akibat banjir.
Tindakan itu dilakukan bagi membersihkan laluan untuk kenderaan kecemasan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Polis berkata, pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang kerosakan yang berlaku kepada kenderaan persendirian yang terkandas di Persimpangan Rong Poon dan Jambatan Terusan U-Tapao.
Bagaimanapun, sekiranya pemilik kereta gagal tampil, kenderaan-kenderaan tersebut akan dialihkan ke stadium di pusat bandar.
Dalam satu kenyataan semalam, polis menjelaskan bahawa kenderaan-kenderaan tersebut menghalang laluan utama, akses kecemasan dan mengganggu lalu lintas memandangkan air banjir mulai surut.
Ketika keadaan bertambah baik, ramai penduduk cuba pulang ke rumah masing-masing. Namun, banyak kenderaan sama ada ditinggalkan semasa pemindahan atau dihanyutkan oleh air banjir, masih terkandas di jalan raya dan jambatan.
Kenyataan itu menambah, sejak 27 November lalu, polis telah menggesa pemilik kenderaan untuk mengambil mana-mana kereta yang masih boleh dialihkan.
Namun menjelang 29 November, beberapa kenderaan yang ditenggelami air masih menghalang laluan di persimpangan, menyebabkan hanya terdapat satu lorong untuk kenderaan kecemasan.
Polis berkata, mereka tiada pilihan selain membersihkan laluan itu. – AGENSI














