DUNGUN – Masjid Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terletak di Hulu Dungun, di sini tidak dapat melaksanakan solat Jumaat ekoran terjejas banjir hari ini.
Kedua-dua kawasan masjid yang berada di kawasan rendah tersebut ditenggelami banjir ekoran hujan lebat dan limpahan air Sungai Dungun berhampiram sejak pukul 3 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani berkata, laluan ke masjid tersebut juga telah dinaiki air.
“Kawasan pekarangan masjid dinaiki air kira-kira 1.8 meter pagi tadi menyebabkan ruangan dewan makan di aras bawah masjid ditenggelami air.
“Ruang solat tidak terjejas, namun laluan masuk ke kawasan masjid berarus deras dan berisiko untuk penduduk biarpun menggunakan bot,” katanya di sini hari ini.
Tengku Mat Yunus berkata, masjid dua tingkat bangunan kayu berusia 50 tahun itu memang sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh.
Beliau berkata, ruang solat pernah dimasuki air tahun lalu sehingga menyebabkan banyak barangan yang termasuk karpet mengalami kerosakan.
Sementara itu penduduk Kampung Shukor, Tengku Mohd. Zulkurnain Tengku Man, 59, pula berkata penduduk di kampung itu juga terpaksa menunaikan solat zuhur selepas kawasan masjid perkampungan itu turut dinaiki air. – KOSMO! ONLINE















