MELAKA – Negeri Sembilan direkodkan sebagai negeri paling terkesan akibat Ribut Tropika Senyar apabila mencatatkan jumlah insiden pokok tumbang tertinggi selepas fenomena itu melanda pantai barat Semenanjung awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan statistik panggilan kecemasan diterima, negeri itu turut mencatatkan kejadian runtuhan tanah, struktur dan banjir di dua lokasi.
“Enam negeri berada dalam jajaran Ribut Tropika Senyar iaitu Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Negeri Sembilan merekodkan insiden paling serius dengan 33 kes pokok tumbang, satu runtuhan runtuh dan struktur serta dua lokasi banjir, manakala negeri lain berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Integriti JBPM 2025 di Ayer Keroh, hari ini.
Katanya, Melaka turut mencatatkan insiden pokok tumbang iaitu sebanyak lapan kes, diikuti Selangor (lima kes) dan dua kejadian banjir, Putrajaya (dua kes) dan Perak (satu kes), manakala Kuala Lumpur tidak melaporkan sebarang kemalangan berhubung ribut tersebut.
“Saya juga dimaklumkan satu kematian membabitkan seorang penunggang motosikal yang melanggar pokok tumbang berlaku di negeri ini, pagi tadi. Jika kita lihat, kemalangan itu juga adalah lanjutan daripada ribut tersebut.
“Kita kena ingat, meskipun ribut ini dilaporkan telah melemah dan diturunkan taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah, risiko pokok tumbang serta tanah runtuh masih tinggi kerana hujan lebat sebelum ini telah melembutkan tanah,” jelasnya.
Nor Hisham berkata, justeru itu pihaknya menyeru semua agensi berkaitan untuk segera mengambil tindakan memulihkan kawasan berisiko, manakala orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan melalui atau berada di kawasan berpokok.- KOSMO! ONLINE















