PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) malam ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, dengan hujan sangat lebat dijangka berlarutan sehingga 29 November 2025.
Antara kawasan yang berada pada tahap Bahaya ialah Kemaman (Terengganu), Maran, Kuantan dan Pekan (Pahang), Klang, Kuala Langat dan Sepang (Selangor), Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Seremban dan Port Dickson (Negeri Sembilan).
Hujan dijangka turun tanpa henti dan berpotensi menyebabkan banjir kilat, aliran air deras serta gangguan aktiviti harian penduduk.
Sementara itu, beberapa negeri lain diletakkan pada tahap Buruk, termasuk Perak, Terengganu (kawasan tambahan), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan lain-lain), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka serta Johor (Tangkak, Segamat dan Muar).
Bagi tahap Waspada, kawasan terlibat ialah Kedah (Kulim, Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Krian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar), Kelantan serta Johor (Batu Pahat, Kluang dan Mersing).
MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar peka dengan perkembangan cuaca, terutama penduduk kawasan rendah, berhampiran sungai dan sering dilanda banjir.
Pihak berkuasa juga mengingatkan agar tidak mengambil risiko meredah jalan dinaiki air serta sentiasa mematuhi arahan keselamatan semasa.
Keadaan cuaca dijangka terus tidak menentu sepanjang minggu, dengan kemungkinan peningkatan paras air di beberapa kawasan kritikal.
Penduduk dinasihatkan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pemindahan kecemasan.- KOSMO! ONLINE














