ALOR GAJAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam longkang lalu dihanyutkan arus deras hujan di Taman Bidara Permai, di sini, petang tadi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan berhubung kes lemas diterima pada pukul 5.47 petang.
Katanya, sepasukan 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi bersama-sama lima buah jentera.
“Setiba di lokasi, pasukan dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berusia anggaran 10 tahun telah terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras hujan yang menghala ke kawasan tadahan air.
“Komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Zaidi Kadiron melaporkan kerja-kerja pencarian sedang dilakukan di kawasan tadahan tersebut setakat pukul 8 malam tadi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE















