fbpx
Menangani ‘diabesiti’ iaitu keadaan seseorang individu mengalami diabetes dan obesiti secara serentak perlu bermula dengan usaha mengatasi punca asasnya.- Gambar hiasan

Tangani ‘diabesiti’ dengan atasi asas puncanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, kadar diabetes semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

Dijangka, rantau ini akan menjadi penyumbang terbesar kepada beban ekonomi global akibat penyakit diabetes menjelang tahun 2030.

Malah di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa 15.6 peratus orang dewasa berumur 18 tahun ke atas hidup dengan diabetes.

Lebih membimbangkan, kira-kira dua daripada lima kes masih belum didiagnosis, manakala kelaziman diabetes diketahui meningkat secara berterusan kepada 9.7 peratus.

Laporan NHMS 2023 turut mendapati bahawa 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan obes.

Ia menjadi satu kebimbangan kerana obesiti ialah faktor utama bagi diabetes jenis dua. Pertambahan berat badan yang berlebihan boleh meningkatkan risiko diabetes jenis dua, sekali gus mencetuskan kesan berantai hingga membawa kepada rintangan insulin.

Diabetes jenis dua adalah keadaan tubuh tidak lagi bertindak balas secara berkesan terhadap insulin, lalu menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

DR. ALEX

Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife, Dr. Alex Teo berkata, risiko itu semakin meningkat disebabkan oleh gaya hidup bandar pesat dengan rutin serba sibuk, penuh tekanan dan banyak duduk.

Menurutnya, waktu bekerja yang panjang serta kemudahan mendapatkan makanan segera sering mendorong kepada tabiat pemakanan tidak sihat atau ‘stress eating’, sedangkan snek dan hidangan manis sering dianggap sebagai jalan mudah untuk melegakan tekanan.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah peningkatan berkaitan isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

“Seorang daripada tiga kanak- kanak berusia antara lima hingga 17 tahun di Malaysia kini mempunyai berat badan berlebihan atau obes,” katanya.

Tambahnya, obesiti pada usia muda membuka ruang kepada pelbagai cabaran kesihatan sepanjang hayat termasuk diabetes jenis dua serta penyakit kronik lain.

Penting juga untuk kita sedari bahawa sesetengah individu kelihatan mempunyai berat badan normal tetapi sebenarnya membawa lebihan lemak dalam badan.

Ia satu keadaan yang dikenali sebagai Thin Outside, Fat Inside (TOFI).

Ini adalah perkara biasa dalam kalangan orang Asia serta individu yang mengambil protein secara tidak mencukupi dan menjalani gaya hidup tidak aktif.

Diabetes jenis dua juga boleh berlaku tanpa sebarang gejala pada peringkat awal. Ini bermaksud, seseorang mungkin mempunyai paras gula dalam darah yang tinggi tanpa sedar.

Oleh itu, Dr. Alex menjelaskan, menangani ‘diabesiti’ iaitu keadaan seseorang individu mengalami diabetes dan obesiti secara serentak perlu bermula dengan usaha mengatasi punca asasnya.

“Punca asasnya seperti pemakanan tidak seimbang dan kurang aktiviti fizikal, sebelum membawa kepada masalah kesihatan lebih serius.

“Dengan mengamalkan gaya hidup lebih sihat, berat badan boleh diturunkan secara sederhana.

“Ini membolehkan kepekaan tubuh terhadap insulin dapat ditingkatkan serta mengurangkan risiko menghidap diabetes,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemakanan memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pengurusan diabetes jenis dua.

Makanan dengan indeks glisemik (GI) tinggi seperti roti putih dan snek manis boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dengan cepat sehingga membawa kepada rintangan insulin.

Mengurangkan pengambilan minuman bergula seperti teh buih atau ‘bubble tea’ dapat membantu mengawal pengambilan gula berlebihan.

Sebagai contoh, mutiara tapioka dalam minuman teh buih yang popular boleh menambah kalori dan meningkatkan indeks glisemik, sekali gus menyumbang kepada obesiti, memburukkan diabetes dan menjejaskan tekanan darah.

Sebaliknya, pilihan yang lebih sihat seperti bijirin penuh serta buah-buahan dan sayur-sayuran kaya serat dapat membantu menstabilkan paras gula darah.

Ia juga dapat melambatkan penyerapan gula, di samping memberikan rasa kenyang lebih lama serta menyokong sistem penghadaman.

Dengan memberi tumpuan kepada pengambilan makanan semula jadi yang kaya dengan nutrien serta mengurangkan makanan diproses, seseorang itu dapat mengawal diabetes dengan berkesan.

Mereka juga dapat mempertingkatkan tahap kesihatan menyeluruh dan fungsi metabolik tubuh.

Menghurai lanjut, Dr. Alex berkata, protein, asid lemak omega-3 dan magnesium merupakan nutrien penting yang membantu dalam pengurusan berat badan serta menyokong kesihatan metabolik, khususnya bagi individu berisiko menghidap diabetes jenis dua.

Menurutnya, protein membantu mengawal selera makan dengan meningkatkan rasa kenyang serta merangsang metabolisme.

Hal ini kerana proses pencernaannya memerlukan lebih banyak tenaga dan membantu membakar lebih banyak kalori.

“Asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan seperti salmon pula berperanan mengurangkan keradangan, meningkatkan kepekaan terhadap insulin serta mengurangkan risiko penyakit berkaitan obesiti.

“Magnesium pula menyokong fungsi insulin dan metabolisme glukosa, sekali gus meningkatkan kepekaan terhadap insulin serta membantu mengawal paras gula dalam darah,” katanya.

Tambah Dr. Alex, nutrien penting juga dapat membantu mengekalkan tekanan darah yang sihat dan menyokong fungsi otot, selain menjadikan tubuh lebih mudah untuk kekal aktif serta menguruskan berat badan.

Selain itu, pilihan gaya hidup sihat memainkan peranan penting dalam mengurus dan mencegah diabetes jenis dua.

Aktiviti fizikal secara berkala seperti 150 minit senaman sederhana setiap minggu dapat membantu mengawal berat badan dan meningkatkan kepekaan terhadap insulin.

Sekiranya sukar mencari masa untuk bersenam semasa hari bekerja, alternatif mudah seperti melakukan yoga di meja kerja atau berjalan seketika sebelum dan selepas makan mampu memberi kesan positif terhadap kestabilan paras gula.

Langkah-langkah kecil ini bukan sahaja menguatkan tubuh badan, sebaliknya mampu meningkatkan tahap tenaga, kesejahteraan menyeluruh serta menyokong matlamat kesihatan jangka panjang.

Sementara itu, tidur yang tidak mencukupi dan tekanan kronik boleh mengganggu fungsi metabolik serta meningkatkan risiko menghidap diabetes.

Jadi, rehat yang mencukupi dan pengurusan tekanan amat mustahak bagi mengekalkan keseimbangan kesihatan tubuh.

Mengurus kesihatan mungkin dirasakan mencabar di tengah-tengah tuntutan gaya hidup yang sibuk ketika ini.

Namun, perubahan kecil tetapi konsisten dalam rutin harian, disertai dengan langkah pencegahan dan pengesanan awal, ia dapat membantu mencegah diabetes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN