BANGKOK – Satu klip video tular memaparkan detik menyayat hati seorang wanita yang terpaksa menyimpan mayat ibunya di dalam peti sejuk selepas rumah mereka ditenggelami banjir besar di Hatyai, lapor portal berita Bangkok Post.
Kejadian berlaku di perkampungan The Rich, Ban Pru, baru-baru ini.
Penemuan itu dibuat oleh pasukan penyelamat. Mereka melihat wanita itu berpaut pada sebuah peti sejuk yang terapung di dalam rumah dengan paras air hampir menenggelamkan bumbung.
“Air naik sangat tinggi pada waktu malam. Ibu saya yang berusia 80 tahun tidak mampu bertahan lagi.
“Saya terpaksa meletakkan mayatnya dalam peti sejuk bagi mengelak daripada dihanyut arus deras ketika kedalaman air mencecah sekitar 1.8 meter.
“Saya agak kecewa kerana anda (pasukan penyelamat) datang lambat. Dia (ibunya) sudah mati lemas,” kata wanita itu kepada pasukan penyelamat.
Selepas mereka dibawa ke tempat selamat di mana airnya sudah surut, wanita itu tiba-tiba rebah. – AGENSI














