JAKARTA – Sepasang suami isteri di Surabaya, wilayah Jawa Timur gembira apabila seutas gelang emas seberat 25 gram milik mereka yang hilang telah ditemukan oleh pendengar sebuah stesen radio, lapor portal berita Suara Surabaya.
Lelaki dikenali sebagai Ilham berkata, gelang emas milik isterinya tercabut semasa dia cuba masuk ke dalam kereta di sebuah pusat beli-belah.
“Kehilangan barang kemas itu disedari selepas kami meninggalkan pusat beli-belah. Disebabkan bimbang, saya segera kembali ke tempat itu dan melakukan pencarian tetapi ia masih belum dijumpai,” kata Ilham menerusi panggilan telefon ketika siaran langsung di Radio Suara Surabaya.
“Selepas bertanya kepada penjaga parkir dan pengawal keselamatan, kami membuat laporan di Balai Polis Genteng.
“Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan gelang itu diambil oleh seorang pemandu kereta jenis Palisade,” tambahnya.
Beberapa jam kemudian, Ilham menerima panggilan daripada stesen radio tersebut yang mendedahkan bahawa salah seorang pendengar mereka dikenali sebagai Yuliani menyimpan gelang itu.
Mereka kemudian bertemu untuk mendapatkan semula gelang emas yang hilang. – AGENSI















