fbpx
Sebahagian pelajar UUM yang masih terkandas di Hatyai, Thailand.

Arus deras sukarkan usaha menyelamat 40 pelajar, pensyarah UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINTOK – Arus deras di sekitar Hotel Wangburapa Grand di Hatyai, Thailand menyukarkan usaha untuk menyelamat 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas sejak Jumaat lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, arus deras itu berlaku berikutan kedudukan hotel yang terletak berdekatan sungai menyebabkan sebahagian bot kecil terbalik.

“Beberapa usaha menyelamat dilakukan dua hari lalu, namun tidak berjaya kerana arus deras,” katanya di sini hari ini. Ketika ini kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan bersemangat tinggi sementara menunggu operasi membawa pulang ke universiti.

“Kita juga mengesan seorang pelajar yang menghidap talasemia. Berdasarkan maklumat daripada Pengarah Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UUM, Dr. Adi Azhar Abdul Razak, pembawa talasemia itu tidak serius.

“Ibu bapa pelajar terbabit juga sudah dimaklumkan bagi mengelakkan kerisauan,” ujarnya.

Katanya, mereka yang terkandas amat berharap agar pihak Konsulat Jeneral Malaysia dapat menghantar bekalan makanan, minuman dan keperluan asas dengan segera.

“Kita terus berhubung dengan Pejabat Konsulat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pemimpin Islam termasuk menggerakkan alumni UUM di sana untuk membantu menghantar makanan, minuman dan ubat-ubatan.

“Pihak UUM turut berterima kasih kepada masyarakat setempat yang prihatin dengan menyediakan bubur nasi untuk pelajar dan staf UUM di sana,” katanya.

Difahamkan, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu membawa pulang pelajar dan pensyarah terbabit secepat mungkin.

“UUM juga menyediakan kenderaan untuk mengambil pelajar dan pensyarah menggunakan laluan yang boleh diakses,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN