LUSAIL – Kekecewaan di Las Vegas langsung tidak menjejaskan fokus Lando Norris, sebaliknya pemandu McLaren itu hadir ke Grand Prix (GP) Qatar dengan misi wajib menang dalam dua perlumbaan terakhir bagi mengesahkan gelaran dunia Formula Satu (F1).
Biarpun terpalit dengan kontroversi pembatalan keputusan Las Vegas gara-gara isu teknikal jentera MCL39, Norris kekal di hadapan dengan kelebihan 24 mata.
Norris hanya perlu meraih dua mata lebih daripada rakan sepasukan, Oscar Piastri dan juara bertahan, Max Verstappen untuk membawa kelebihan selesa 26 mata ke pusingan terakhir di Abu Dhabi.
“Saya tidak pernah berada di kedudukan ini, tetapi tiada apa yang berubah. Saya anggapnya sama seperti biasa.
“Matlamat saya adalah memenangi dua baki perlumbaan musim ini, termasuk perlumbaan sprint. Saya akan cuba memenangi ketiga-tiganya (termasuk GP Abu Dhabi),” tegas Norris.
Norris ketika ini berdepan ancaman sebenar menerusi Verstappen selepas pemandu Red Bull itu mempamerkan kebangkitan menakjubkan pada separuh masa kedua musim ini, merapatkan jurang defisit 104 mata untuk kini terikat mata dengan Piastri di tangga kedua.
Konsistensi Verstappen yang sentiasa menaiki podium dalam setiap perlumbaan sejak GP Belanda, ditambah dengan kemenangan di Las Vegas minggu lalu menyuntik semula moral kem Red Bull untuk melakukan kejutan di saat akhir.
Norris sedar bahawa dia tidak boleh mengharapkan nasib semata-mata, sebaliknya perlu menterjemahkan dominasi di Qatar untuk menutup terus peluang kebangkitan Verstappen. – AGENSI















