KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu terus memburuk dengan menjejaskan enam daerah di negeri ini kecuali Dungun dan Kemaman.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, setakat ini, mangsa banjir telah meningkat kepada 2,416 orang daripada 7489 keluarga.
Beliau berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) di Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu.
“Marang menjadi daerah paling terjejas dengan 1,419 mangsa daripada 441 keluarga berlindung di lapan PPS. Seramai 578 mangsa daripada 174 keluarga berada di 12 PPS di Setiu,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBNT berkata, sebanyak enam PPS yang menempatkan 198 mangsa daripada 57 keluarga telah dibuka di Besut.
Beliau berkata, Kuala Terengganu pula mempunyai 88 mangsa daripada 49 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Atas Tol.
“Seramai 74 mangsa daripada 15 keluarga berada di tiga PPS di Dungun manakala dua PPS yang dihuni 59 mangsa daripada 13 keluarga beroperasi di Hulu Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE















