PETALING JAYA – Seorang gadis pernah berkongsi kisah kebaikan seorang pemandu e-hailing yang membantunya mendapatkan rawatan sewaktu dia sedang sakit, menemukan kedua ibu bapanya dengan lelaki tersebut sebagai penghargaan.
Menerusi hantaran pengguna Thread Mirzahiraa, dia membawa kedua ibu bapanya bertemu pemandu e-hailing itu selepas majlis konvokesyennya di Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Korang ingat tak pak cik Grab viral sebab tolong saya hari tu. Kami jumpa semalam lepas majlis graduasi, keluar bawa keluarga jumpa pak cik. Pak cik yang memainkan peranan jadi ayah hari itu, akhirnya berjumpa dengan ayah saya yang sebenar,” katanya pada hantaran berkenaan.
Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Thread, malah ada yang memuji tindakan gadis berkenaan dalam membalas kebaikan pemandu e-hailing tersebut.
“Masya-Allah, besar pahala orang yang sambung silaturahim,” kata pengguna Thread Fatin Saman.
“Saya sanggup tengok Thread awak. Cari cerita pak cik Grab ni. Sumpah aku nangis, semoga kedua-dua diberi kesihatan yang baik-baik. Tahniah awak dah konvo,” komen Atikayazidd.
“Sekarang awak ada dua ayah. Seorang ayah sebenar dan seorang lagi ayah angkat. Harap silaturahim ni kekal sampai syurga,” kata Nurulshafika Ahmad.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, seorang gadis berkongsi pengalamannya dibantu seorang pemandu Grab ketika dia sedang sakit dan keseorangan di perantauan.
Menerusi laporan sebelum ini, Mirzahiraa ketika itu hanya mempunyai RM30 di tangan dan Allah hadirkan pemandu Grab tersebut untuk membantunya mendapatkan rawatan.
Bukan setakat menghantarnya hingga ke pintu kecemasan, Mirzahiraa dipetik berkata, pemandu itu turut membelikan sarapan, memberikan wang belanja tambahan serta menghubunginya semula untuk bertanya khabar dan menawarkan bantuan jika dia dimasukkan ke wad. – KOSMO! ONLINE














