PONTIAN – Lebih RM10 juta wang milik ratusan penduduk Pontian lesap selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, skim pelaburan tidak wujud kekal menjadi ‘Raja Scammer’ apabila mencatatkan kerugian RM5.32 juta membabitkan 52 mangsa yang terperdaya dengan janji pulangan luar biasa.
Menurutnya, mangsa ‘phone scam’ pula direkodkan paling ramai iaitu 249 orang dan hampir RM3.93 juta melayang selepas digertak individu yang menyamar sebagai pegawai polis, kastam dan agensi-agensi penting lain.
“Pembelian dalam talian turut menjadi lubuk penipu apabila 85 mangsa direkodkan dengan kerugian RM430,491, manakala pinjaman tidak wujud pula mencatatkan 29 mangsa yang rugi RM176,537.
“‘Love scam’ pula terus memusnahkan hidup enam mangsa yang kehilangan RM116,426 selepas terpancing janji palsu lelaki kononnya mahu berkahwin dengan mereka,” katanya selepas Majlis Bual Santai Bersama PDRM di Dewan Masjid Al-Faizin, Kampung Parit Semerah, di sini hari ini.
Tambahnya, empat kes lain turut mencatatkan kerugian RM117,395, menjadikan jumlah keseluruhan duit penduduk Pontian yang dikebas ‘scammer’ mencecah RM10,094,691.50. -KOSMO! ONLINE















