PETALING JAYA – Keadaan Kampung Guar Syed Alwi terletak di Kangar, Perlis seolah-olah bertukar menjadi lautan besar berikutan kawasan tersebut turut terjejas bencana banjir.
Menerusi perkongsian siaran langsung pengguna TikTok Nas Maheran menunjukkan, lelaki tersebut mengharungi ‘lautan’ banjir di kawasan kampung itu sewaktu menjalankan kerja-kerja sukarelawan di sana.
Nas Maheran bersama beberapa sukarelawan lain membantu mengeluarkan penduduk kampung menaiki bot tanpa enjin dan mereka beramai-ramai menariknya ke tempat lebih selamat.
Kelihatan seluruh kawasan berkenaan berubah menjadi ‘lautan’ yang menenggelamkan rumah serta kenderaan penduduk.
Sepanjang perbualan antara Nas Maheran dan penduduk kampung yang diselamatkan, dimaklumkan kawasan berubah menjadi lautan itu turut melibatkan sawah padi.
“Ini Guar Syed Alwi di Kangar. Dah jadi macam laut. Dekat paras sana rumah tu, nak paras dada. Dalam ni… dalam,” kata lelaki tersebut pada siaran langsung berkenaan.
Perkongsiannya mendapat tontonan orang ramai dan mereka meluahkan kesedihan dihadapi mangsa-mangsa banjir di seluruh negara ketika ini.
“Bendang jadi lautan dah,” komen seorang pengguna TikTok pada siaran langsung itu.
“Macam duduk dalam sungai dah,” kata seorang lagi individu.
“Allahu dah macam air laut, semoga dipermudah dan dilindungi,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE















