JAKARTA – Banjir dan tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang serta mencederakan berpuluh-puluh lagi selepas hujan lebat melanda Pulau Sumatra, Indonesia, kata seorang pegawai bencana hari ini.
Cuaca ekstrem melanda wilayah Sumatra Utara selama beberapa hari, membanjiri sebahagian daerah Tapanuli Selatan sejak kelmarin, demikian menurut agensi bencana kebangsaan, BNPB.
“Di Tapanuli Selatan, bencana banjir dan tanah runtuh telah mengakibatkan lapan orang kehilangan nyawa, 58 cedera dan 2,851 penduduk terpaksa berpindah,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Tambahnya, agensi bencana tempatan telah mengerahkan peralatan berat untuk membersihkan serpihan, yang telah menyekat akses jalan ke daerah itu.
“Sekurang-kurangnya tiga daerah lain di wilayah tersebut juga terjejas oleh banjir dan tanah runtuh,” katanya.
Benih siklon iaitu formasi cuaca yang berpotensi menjadi siklon tropika, menjadi punca di sebalik cuaca ekstrem itu, demikian menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik. – AFP















