KANGAR – Jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat secara mendadak kepada 5,591 orang setakat pukul 4 petang tadi selepas puluhan kampung di negeri ini ditenggelami air sejak dua hari lalu.
Laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis menunjukkan sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Padang Besar, Kangar dan Arau bagi menempatkan mangsa daripada 1,421 buah keluarga.
“Daerah Kangar mempunyai sembilan PPS termasuk Dewan 2020, Dewan Warisan, IPG Perlis, Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Syed Alwi dan SK Panggau. PPS Dewan 2020 menjadi PPS terbesar dengan menempatkan seramai 722 mangsa.
“Padang Besar pula merekodkan 1,047 mangsa khususnya dari Lubuk Sireh, Mata Ayer dan Bukit Keteri. Di Arau, empat PPS termasuk Universiti Teknologi Mara Arau, SK Guar Nangka dan Universiti Malaysia Perlis di Kubang Gajah menempatkan lebih 1,300 mangsa,” katanya hari ini.
Paras air sungai masih meningkat meskipun cuaca cerah, manakala kelajuan angin yang dicatatkan adalah 22 kilometer sejam. – KOSMO! ONLINE















