KLANG – Tindakan seorang penganggur yang cuba membunuh anggota polis berpangkat sarjan dengan cara menyeret menggunakan keretanya di stesen minyak baru-baru ini berbalas selepas dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar memerintahkan Mohammad Arif Selamat, 33, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 November lalu. Tertuduh turut didenda RM10,000 atau penjara tambahan 12 bulan jika gagal membayarnya.
Mohammad Arif didakwa memandu kereta sehingga menyebabkan Sarjan Syed Ali Syed Akil, 46, terseret dan boleh menyebabkan kematian di sebuah stesen minyak Persiaran Raja Muda Musa pada pukul 3.03 petang, 12 November lalu.
Dia dakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Pada prosiding itu, Mohammad Arif yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan bapanya yang berusia 61 tahun mempunyai penyakit jantung.
Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi menjelaskan, tindakan tertuduh menyebabkan mangsa terseret. Kes ini menjadi tumpuan dan hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
“Pohon mahkamah mengambil kira mangsa merupakan penjawat awam iaitu polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penjenayah bertindak agresif apabila hampir mengilis anggota polis menggunakan kereta di stesen minyak. Siasatan mendapati semasa kejadian anggota polis itu mahu menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun di Subang Jaya. – KOSMO! ONLINE














