PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan proses calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di seluruh negara pagi ini lancar biarpun ada beberapa negeri terjejas ekoran banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, perkara itu disahkan menerusi kemas kini daripada semua 16 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) setakat pukul 6 pagi tadi.
Katanya, setakat pagi ini, tiada calon SPM 2025 terjejas dan peperiksaan berjalan seperti yang dijadualkan.
Seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025 meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
“Seramai 358,817 calon berdaftar di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
“Selain itu, seramai 8,051 calon daripada sekolah bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja dan Sekolah Perantis Tentera,” katanya selepas meninjau SPM 2025, di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) di sini, hari ini.
Calon daripada sekolah menengah agama negeri pula berjumlah 6,676 orang, manakala sekolah swasta berdaftar seramai 13,836 orang. Turut menduduki peperiksaan sama seramai 23,741 calon persendirian, dan 2,251 calon sekolah menengah agama rakyat,” – KOSMO! ONLINE














