PETALING JAYA – Kelab gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund menyatakan solidariti terhadap rakyat Malaysia yang sedang berdepan musibah banjir.
Dalam satu hantaran di akaun Instagramnya, Dortmund menzahirkan keprihatinan terhadap semua mangsa yang terjejas dan mengingatkan mereka agar mengutamakan keselamatan sepanjang bencana tersebut.
“BVB sentiasa bersama rakyat Malaysia sepanjang musim banjir ini. Buat semua mangsa yang terjejas, keselamatan anda adalah yang paling utama. Sentiasa berwaspada dan jaga diri baik-baik,” katanya.
Setakat malam ini, seramai 16,057 mangsa daripada 5,522 keluarga ditempatkan di 105 pusat pemindahan sementara di tujuh negeri.
Negeri yang terlibat banjir adalah Selangor, Kelantan, Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, dan Terengganu. – KOSMO! ONLINE















