SHAH ALAM – Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) dilancarkan secara rasmi hari ini bagi mengukuhkan peranan pengamal media di negeri ini.
Pelancarannya disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seterusnya menjadi Penaung WAJAR di Bangunan Annex, Wisma Dewan Negeri Selangor.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan wartawan dan jurukamera sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.
“Pentadbiran ini menghormati kebebasan media dan dalam masa yang sama, kita berharap kebebasan itu disertai tanggungjawab serta etika yang tinggi.
“Saya yakin WAJAR akan menjadi sebuah pertubuhan yang aktif memperkukuh kompetensi anggotanya, memelihara kebajikan wartawan, dan menjadi rakan penting dalam memastikan ekosistem media di negeri ini terus subur dan dihormati,” katanya hari ini.
WAJAR yang mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada Julai lalu telah mempunyai hampir 80 ahli berdaftar setakat ini.
Pengerusi WAJAR, Norrasyidah Arshad berkata, perkembangan awal itu menunjukkan sokongan kukuh rakan media dalam usaha memperkukuh suara profesional, manakala pendaftaran baharu akan dibuka lagi tahun hadapan.
“WAJAR akan terus memperjuangkan kebajikan ahli termasuk aspek keselamatan, perlindungan insurans dan sokongan ketika berdepan tekanan kerja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














