PETALING JAYA – ‘Mengidam’ nasi kandar punya fasal, sebuah keluarga tidak teragak-agak untuk ‘memborong’ juadah berkenaan di sebuah restoran yang terletak di George Town, Pulau Pinang untuk dibawa pulang ke Singapura.
Menerusi perkongsian di media sosial Nasi Kandar Sulaiman (NKS), keluarga tersebut memesan juadah berkenaan yang berjumlah RM150 untuk dibawa pulang.
“Kapal terbang akan bau kari. Ini dia keluarga ini datang dari Singapura, mereka bungkus nasi dan lauk banyak-banyak dalam harga RM150 untuk nak bawa ke sana sebentar lagi.
“Mereka akan naik penerbangan tengah hari nanti. Katanya sudah lama mengidam NKS. Alhamdulilah, apa-apa pun semoga sampai dengan selamat,” katanya.
Hantaran berkenaan meraih perhatian orang ramai, malah ada yang mencadangkan supaya pemilik restoran berkenaan membuka sebuah cawangan lain di Singapura.
“Jangan depa (mereka) buka makanan dalam penerbangan sudah.. Risau kapten mai (datang) ‘join’ (sertai) sekali,” seloroh @Syahawari Daud.
“Boleh dah buka cawangan NKS (Nasi Kandar Singapore),” cadang @Yusry Rosly.
“Ya Allah, suatu hari berikan rezeki berlebih. Nak terbang ke Malaysia, makan nasi kandar ini,” komen @Ti Ta. – KOSMO! ONLINE















