KUALA LUMPUR – Selamba tampil ber’boxer’ atau hanya mengenakan seluar dalam peninju dan tidak berbaju menerusi filem terbaharunya, Klepet, pelakon Aedy Ashraf mengakui tindakan tersebut dilakukan bagi menampilkan realiti sebenar kehidupan watak lakonannya.
Meskipun beraksi dalam keadaan separuh bogel begitu, Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, memohon maaf sekiranya tindakan tersebut kurang menyenangkan sesetengah pihak.
“Bagi saya dalam filem kami cuba sebaik mungkin untuk tonjolkan realiti sebenar. Saya di luar berseluar pendek dan di rumah bersama kawan lelaki memang buka baju.
“Itu apa saya cuba cerminkan untuk gambarkan realiti untuk audiens.
“Andai kata ada yang kurang senang dan pedih mata, saya minta maaf awal-awal sebab kami cuba buat kerja untuk jadikan filem nampak ‘real’. Tiada niat lain,” katanya kepada Kosmo! pada majlis tayangan naskhah sentuhan pengarah babaru, Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji tersebut.
Pada masa sama, bintang Kahar: Projek High Council yakin dengan peranan Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam menilai serta meluluskan adegan termasuk yang mengandungi bahasa kasar.
“Saya takut juga tapi saya percaya perfileman kita ada tapisan daripada LPF dan Finas.
“Mereka lebih mahir dan handal, tahu apa yang mereka tapis.
“Masa penggambaran kita rasa tak patut cakap macam itu tapi pendekatan daripada pengarah biar kami buat apa saja, mereka akan uruskan dalam proses suntingan dan ambil dari sana,” katanya lagi.
Selain Aedy, Klepet turut dibintangi pelakon Nadhir Nasar, Meerqeen, Joey Daud, Aeril Zafrel, dan Eric Fuzi.
Filem Klepet bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 27 November depan.
Dalam filem terbitan Wawa Global Sdn. Bhd, Aedy memegang watak sebagai Paly iaitu yang berseronok menaiki kenderaan ‘motorhome’ bersama dua orang rakannya iaitu Jany (Nadhir Nasar) dan Wady (Meerqeen).
Namun, pengembaraan tiga sekawan itu bertukar tragedi dengan kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine sehingga mencetuskan keadaan huru-hara. – KOSMO! ONLINE














