PETALING JAYA – Mangsa banjir melibatkan enam negeri terus meningkat dengan seramai 8,798 mangsa daripada 3,190 keluarga direkodkan pada pukul 9 malam ini, berbanding 8,258 mangsa daripada 2,944 keluarga pada petang tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di 42 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri terjejas banjir.
Menerusi laman web Info Bencana JKM malam ini, Pulau Pinang dan Perlis antara negeri baru yang membuka PPS pada hari ini.
Turut terjejas ekoran banjir adalah melibatkan beberapa daerah di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Sarawak.
“Jumlah mangsa tertinggi direkodkan di Kelantan dengan 31 PPS dibuka melibatkan 7,880 mangsa daripada 2,991 keluarga terjejas di daerah Tumpat, Bachok, Kota Baharu dan Pasir Puteh.
“Ia diikuti Terengganu dengan dua PPS dibuka melibatkan mangsa seramai 370 orang daripada 113 keluarga di daerah Besut, ” kata info berkenaan malam ini.
Kedah pula, dengan jumlah mangsa seramai 244 orang melibatkan 85 keluarga di tempatkan di tiga PPS di daerah Kulim.
“Di Pulau Pinang PPS dibuka sebanyak dua buah iaitu di Seberang Perai Utara melibatkan seramai 147 mangsa daripada 40 keluarga. Di Perlis menyaksikan tiga PPS dibuka dengan jumlah mangsa 114 orang daripada 35 keluarga direkodkan di Padang Besar.
“Sementara itu, Sarawak dengan jumlah mangsa 44 orang daripada enam keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Miri,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya (merah) di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan sehingga Selasa ini.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis serta beberapa daerah di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
MetMalaysia memaklumkan, hujan berterusan tahap waspada sehingga esok diramal berlaku di sebahagian kawasan di Pahang, Selangor, Kelantan serta Terengganu. – KOSMO! ONLINE














