fbpx
SAMBUTAN kemerdekaan antara platform terbaik bagi merapatkan jurang perbezaan antara kaum sambil memupuk semangat kebersamaan.

KPN teguh hadapi cabaran sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2025 menjadi detik pen­ting dalam usaha memperkukuh perpaduan di negara ini, apabila Kementerian Perpaduan Negara (KPN) terus mengambil langkah proaktif dalam menghadapi isu polarisasi dan ketegangan sosial yang semakin melanda masyarakat dalam lanskap nasional yang dipe­ngaruhi oleh kenyataan berbaur kebencian, perbezaan agama, dan sentimen perkauman.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mene­gaskan bahawa perpaduan adalah seperti agama, ia tidak boleh dipaksa, tetapi harus dipupuk melalui pendidikan, kesedaran, intervensi dan penglibatan masyarakat secara berterusan.

Kementerian tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi, SKMM atau PDRM yang dilengkapi akta-akta seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Mesin dan Cetak, Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.

Namun, tanpa mandat penguatkuasaan, kementerian tetap memainkan peranan penting melalui pendekatan reformative – menekankan mediasi, intervensi, pemantauan dan kesedaran bagi mena­ngani isu sensitif berkaitan agama, kaum dan kenyataan berbaur kebencian.

Antara inisiatif strategik kementerian pada tahun ini termasuklah pemantauan kenyataan berbaur kebencian melalui Sistem Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), yang dilancarkan buat pertama kali pada 2025.

Setiap aduan yang diterima disalurkan terus kepada agensi penguatkuasa berkaitan untuk tindakan segera, menjadikannya satu pendekatan proaktif dan berkesan dalam menangani isu perpaduan.

Inisiatif baharu ini menandakan satu langkah penting kementerian dalam mengurus isu-isu sensitif berkaitan kaum, agama dan kenya­taan berbaur kebencian, memastikan intervensi dapat dijalankan dengan cepat sebelum ia menjejaskan keharmonian komuniti.

Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) yang melibatkan 12 kementerian dan agensi pula memastikan koordinasi dan tindakan pantas terhadap isu-isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian.

Tambahan lagi, pembangunan Dashboard Analitik Perpaduan membolehkan kementerian me­ngenal pasti ‘hotspot’ risiko kete­gangan kaum atau agama dan merancang intervensi bersasar di peringkat komuniti.

Sementara itu, pelantikan 603 Mediator Komuniti di peringkat akar umbi berperanan sebagai pendamai dan pemudah cara sosial, menangani konflik sebelum ia menjadi masalah besar.

Tema Harmoni Dalam Kepelbagaian sepanjang 2025 diterjemahkan melalui penerapan nilai utama Faham, Hormat, Terima dan Meraikan dalam semua program kementerian. Lima ikhtiar utama menjadi tunjang kepada pencapaian tahun ini: Ekosistem Perpaduan, Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara, Komuniti Sosio-Budaya, dan pendekatan program berasaskan interaksi masyarakat sebagai asas pembinaan tapak integrasi rakyat.

Di bawah Ekosistem Perpa­duan, kementerian menekankan aktiviti pembangunan komuniti dan pemerkasaan sukarelawan. Sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan dan negeri, ulang tahun ke-50 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), serta penghasilan 301 KRT Progresif membuktikan komitmen kementerian untuk memperkukuh semangat kejiranan.

Perayaan Songkran dan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan turut dianjurkan bagi memupuk muhibah antara komuniti berbilang kaum.

Peruntukan RM33.73 juta disa­lurkan bagi kemudahan pendidikan Taska dan Tabika Perpaduan, termasuk Starter Kit, insurans kemalangan diri berkelompok, bantuan makanan tambahan dan buku aktiviti murid, sementara RM5 juta lagi digunakan untuk menaik taraf 119 Tabika Perpaduan.

Selain itu, 43 pelajar menerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman, manakala 324 sukarelawan siswa digerakkan melalui Misi MADANI Berkhidmat, dan lapan atlet negara dilantik sebagai Ikon Perpaduan.

Pelancaran Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan memudahkan rakyat dan organisasi memohon sokongan bagi aktiviti komuniti.

Bagi Harmoni MADANI, kementerian memperkukuh hubungan antara penganut agama melalui sambutan antarabangsa, dialog harmoni, perarakan kereta berhias etnik, dan iklan perayaan bagi Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Kaamatan, Deepavali dan Hari Natal.

Penubuhan JPIP memastikan isu berpotensi dicerap awal, manakala pelantikan 603 Mediator Komuniti memberi kuasa kepada mediator untuk menyelesaikan konflik secara efektif di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Eksplorasi Rukun Negara menekankan penghayatan dan pengamalan Rukun Negara melalui kempen taat setia, program gerak integrasi perpaduan, jalinan integrasi mahasiswa, pelaksanaan Program Citra Negaraku di institusi pengajian tinggi dengan peruntukan geran RM20,000 bagi setiap institusi, pertandingan mural peringkat sekolah, program Arkib@Sekolah, dan Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) yang melibatkan 41 muzium seluruh negara.

Komuniti Sosio-Budaya pula menekankan usaha merakyatkan muzium, perpustakaan dan arkib. Program seperti Citra Nusa@Muzium, Fiesta Uniti@Muzium, Cashless Museum di Muzium Negara, Arkib Komuniti, Majlis Sejarawan Negara, serta pelbagai festival seni, sastera dan karnival membaca menjadikan budaya dan warisan dapat diakses masyarakat, khususnya generasi muda.

Secara keseluruhan, jumlah program yang dilaksanakan meningkat daripada 653 pada 2023 dan 730 pada 2024, kepada 762 program pada 2025, menunjukkan konsis­tensi kementerian dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang menyentuh akar umbi.

Semua inisiatif ini menjadi asas kepada pembinaan tapak integrasi rakyat, di mana masyarakat dari pelbagai latar belakang dapat bertemu, berinteraksi dan menjalinkan hubungan.

Program-program ini menyediakan platform bagi rakyat untuk berlalu interaksi, merapatkan jurang sosial, budaya dan ekonomi, serta memupuk rasa saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Inilah yang dimaksudkan dengan ‘tapak integrasi’, selari dengan fokus utama Dasar Perpaduan Negara, iaitu membina masyarakat yang bersatu, inklusif dan berdaya tahan melalui pengalaman bersama dan penerapan nilai MADANI dalam kehidupan seharian.

Kementerian menegaskan bahawa pencapaian sepanjang 2025 adalah salah satu pencapaian pen­ting di bawah MADANI Bekerja, menunjukkan keberkesanan pendekatan berpandukan kesedaran, intervensi strategik, program komuniti dan pemerkasaan sukarelawan.

Dengan usaha berterusan, kementerian komited untuk memperluas lagi program perpaduan, khususnya di kawasan pedalaman, bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, dapat hidup dalam Harmoni Dalam Kepelbagaian.

SEBAHAGIAN INISIATIF KPN SEPANJANG 2025

Ekosistem Perpaduan

  • Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan dan Negeri
  • Sambutan 50 Tahun Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga
  • Sebanyak 301 KRT berjaya dimodelkan sebagai KRT Progresif
  • RM33.73 juta bagi kemudahan pembelajaran Taska dan Tabika Perpaduan seperti Starter Kit, Insurans, Kemalangan Diri Berkelompok, Bantuan Makanan Tambahan dan buku aktiviti murid
  • Penganjuran Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan

Harmoni MADANI

  • Sambutan Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia
  • Dialog Harmoni
  • Perarakan Harmoni melibatkan kereta berhias etnik-etnik
  • Iklan perayaan berkisahkan perpaduan bagi perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Kaamatan, Deepavali dan Hari Natal
  • Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan melibatkan 12 agensi kerajaan

Eksplorasi Rukun Negara

  • Sambutan 55 Tahun Rukun Negara
  • Program Arkib@Sekolah bagi mendekatkan pelajar dengan sejarah
  • Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) untuk memperkasa pendidikan sejarah dan warisan budaya melalui 41 muzium
  • Kempen Taat Setia Rukun Negara
  • Program Gerak Integrasi Perpaduan melibatkan elemen silang budaya dan kenegaraan
  • Jalinan Integrasi Mahasiswa
  • Institusi Pengajian Tinggi melaksanakan Program Citra Negaraku dengan peruntukan geran RM20,000 bagi setiap institusi

Komuniti Sosio-Budaya

  • Citra Nusa @ Muzium dan Fiesta Uniti @Muzium sebagai usaha merakyatkan muzium
  • Cashless Museum diperkenalkan di Muzium Negara
  • Arkib Komuniti dilancarkan sebagai usaha melibatkan komuniti dalam mengumpul bahan sejarah

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI