PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu, laporan psikiatri dalam kes pelajar lelaki yang didakwa menikam pelajar perempuan sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini masih belum diperoleh.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong selepas prosiding kes secara tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
“Mengikut Seksyen 342(4) (Kanun Tatacara Jenayah), mahkamah mempunyai ruang untuk melanjutkan tempoh itu selama sebulan. Justeru tarikh 19 Disember ini ditetapkan untuk sebutan lanjut dengan harapan laporan itu akan siap dan sedia, ” kata peguam itu.
Tambah beliau, laporan pskiatari itu penting bagi penilaian terhadap kecerdasan mental tertuduh untuk membuat pengakuan dan dibicarakan selain keadaan mentalnya ketika melakukan kesalahan tersebut.
Prosiding hari ini dibuat secara tertutup berikutan remaja lelaki berkenaan merupakan pesalah juvana dibawah umur.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Oktober lalu, tertuduh diperintah menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak yang mana mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis telah menahan supek yang juga seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian tikam seorang pelajar perempuan di dalam kawasan sekolah terbabit.
Sejurus selepas kejadian itu, keluarga mangsa dalam satu sidang akhbarnya mendakwa terdapat kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan remaja perempuan tersebut yang ditemui mati dalam tandas di sekolah itu.
Ibu mangsa, berkata, berdasarkan penjelasan ahli patologi, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka. – KOSMO! ONLINE















