fbpx
ORANG lelaki sering diminta untuk kekal tabah, kuat dan menyembunyikan emosi kerana 'tidak dibenarkan' kelihatan lemah. – Gambar hiasan

Lelaki lebih ketara masalah mental, lagi tertekan berbanding wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESIHATAN mental merupakan sesuatu yang penting untuk setiap individu kerana ia mempengaruhi cara kita berfikir, berasa dan bertindak dalam kehidupan seharian.

Namun begitu, perbincangan tentang kesihatan mental bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya dalam kalangan lelaki kerana topik ini sering kali disambut dengan keengganan atau penolakan.

Statistik menunjukkan trend yang membimbangkan dan data tahun 2015 menganggarkan kadar gangguan mental di Malaysia mencecah 29 peratus. Ia peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun 1996, manakala data tahun 2023 pula mendedahkan bahawa sekitar satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, angka yang lebih daripada dua kali ganda berbanding tahun 2019. Hakikatnya, tahap kesihatan mental rakyat Malaysia berada pada paras yang merisaukan dan situasi ini lebih ketara dalam kalangan lelaki.

Ahli Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Serena In berkata, stigma terhadap isu kesihatan mental masih kuat berakar umbi dalam masyarakat di negara ini terutamanya lelaki.

“Ini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir tradisional tentang peranan lelaki dalam masyarakat, bagaimana mereka sepatutnya bertingkah laku serta batasan terhadap apa yang dianggap ‘boleh diterima’.

“Dalam banyak keadaan, wanita cenderung untuk lebih terbuka dan mereka lebih mudah mengakui dan berkongsi perasaan dengan rakan-rakan.

“Namun bagi orang lelaki, mereka sering diharap untuk kekal tabah, kuat dan tidak beremosi,” katanya.

Tambahnya, sejak kecil lagi, anak lelaki dibesarkan dengan tanggapan bahawa menunjukkan emosi atau meminta pertolongan itu tanda kelemahan.

Ada kalanya mereka turut diejek atau dikritik apabila melakukannya. Akibatnya, ramai lelaki berasa malu apabila mereka gagal memenuhi harapan diri sendiri atau orang lain.

Serena menjelaskan, apabila lelaki berasa tertekan kerana tidak mampu menepati harapan tersebut, keadaan ini dikenali sebagai masculine discrepancy stress atau tekanan akibat ketidaksesuaian dengan jangkaan maskuliniti.

“Hal ini menambah lagi beban mental dan emosi yang mereka tanggung di samping masalah lain yang sedang mereka hadapi.

“Selain itu, lelaki turut memikul beban tambahan dalam menghadapi cabaran harian kehidupan seperti waktu kerja yang panjang, tuntutan berterusan serta tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah,” terangnya.

DR. SERENA

Lelaki lazimnya dilihat sebagai pencari nafkah utama keluarga. Apabila berdepan dengan masalah kewangan, tekanan serta perasaan tidak mencukupi mudah timbul.

Keadaan ini pula sering diperburuk oleh pengaruh media sosial yang menonjolkan gaya hidup ideal dan serba sempurna.Gabungan semua faktor ini boleh menjadi terlalu berat untuk ditanggung sesiapa pun.

Namun, kesannya lebih mendalam terhadap lelaki yang mudah terkesan dengan pandangan negatif serta kritikan.

Serena berkata, tanda-tanda gangguan kesihatan mental selalunya tidak jelas kelihatan.

“Dalam banyak keadaan, masalah ini berkembang secara perlahan- lahan dan ini membuatkan kita mudah terlepas pandang proses itu.

“Bagi sesetengah orang pula, mereka menyembunyikan pergolakan dalaman di sebalik sikap dan tingkah laku yang kelihatan terkawal,” katanya.

Tambahnya, mereka sudah terbiasa berlakon seolah-olah semuanya baik-baik saja. Tanda amaran masalah kesihatan mental boleh muncul secara tidak langsung, sama ada pada lelaki mahupun wanita.

Namun, sesetengah daripadanya lebih kerap dilihat dalam kalangan lelaki.

Antara tanda amaran adalah perubahan tingkah laku dan emosi seperti mudah marah, gelisah atau cepat naik angin.

Tingkah laku berisiko atau eskapis (mengelak atau melarikan diri dari kenyataan) iaitu tindakan mengalih perhatian daripada emosi sebenar atau cuba ‘merawat diri sendiri’ seperti penyalahgunaan alkohol atau dadah, sama ada lebih kerap atau dalam jumlah yang berlebihan.

Mereka juga melakukan tindakan berisiko seperti memandu secara melulu, terlibat dalam sukan ekstrem atau tingkah laku seksual yang berlebihan dan melampau.

Ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja memainkan peranan penting dalam memerhati perubahan tingkah laku dan menawarkan sokongan. Lakukanlah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Jelas beliau, antara sokongan yang boleh diberikan adalah mendengar dengan penuh perhatian.

“Bagi ramai lelaki, mengakui emosi dan meluahkan perasaan bukanlah perkara yang mudah. Mereka mungkin menggunakan ungkapan seperti ‘rasa kosong’, ‘tak ada semangat’, ‘letih sepanjang masa’ atau ‘tak ada mood’ untuk menggambarkan keresahan, kemurungan atau kesedihan yang mereka alami,” katanya.

Selain itu, luangkan masa bersama mereka kerana kehadiran anda amat bermakna.

“Ada lelaki yang lebih selesa melakukan aktiviti, ajak mereka untuk minum bersama atau bermain sukan mungkin lebih mudah diterima berbanding ajakan untuk berbual tentang perasaan,” ujarnya.

Selain itu, tawarkan bantuan, ramai yang masih keberatan untuk mendapatkan pertolongan profesional dan lelaki selalunya memerlukan lebih banyak dorongan untuk berbuat demikian.

Sokongan boleh diberikan dengan membantu mereka membuat janji temu, menemani mereka ke sesi rawatan atau mencadangkan pilihan dalam talian jika pertemuan bersemuka terasa terlalu berat.

Jelas Serena, emosi itu perlu diakui dan diurus dengan cara yang sihat serta disalurkan melalui ruang yang sesuai.

“Hal ini boleh dilakukan dengan langkah mudah seperti berbual dengan rakan, bersenam secara teratur dan mendapatkan rehat yang mencukupi.

“Selain itu, kaum Adam juga perlu melihat kesihatan mental sama seperti kesihatan fizikal. Kita perlu menjaga minda sebagaimana kita menjaga tubuh badan.

“Sama seperti anda berjumpa doktor apabila rasa tidak sihat secara fizikal, berjumpalah kaunselor atau ahli terapi apabila anda berasa terganggu dari segi mental atau emosi,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN