Fenomena gelandangan di ibu kota memasuki episod baharu, bukan lagi sekadar kisah insan terbuang dan kelaparan tetapi muncul pula kelompok yang semakin ‘bergeliga selera’ hingga menolak bantuan atas alasan tidak menepati cita rasa.
Pemerhatian penulis baru-baru ini mendapati ada gelandangan membuang makanan yang diberikan si penderma bukan kerana basi atau rosak, tetapi mendakwa tidak sedap.
Lebih mengejutkan, ada yang berani meminta wang tunai dengan kadar tertentu daripada para penderma.
Fenomena ini menimbulkan persoalan besar, adakah Kuala Lumpur sedang melahirkan gelandangan bermentaliti
T20?
Satu peristiwa yang berlaku di sekitar Jalan Chow Kit minggu lalu menyaksikan bekalan makanan yang diagihkan dibuang ke dalam dalam tong sampah.
Seorang peniaga dikenali sebagai Sue berkata, dia agak terkejut melihat tindakan seorang gelandangan tersebut apabila makanan yang diberikannya itu dianggap seperti sampah.
“Apabila ditanya, lelaki itu kata dia memang tak makan mi goreng. Tapi, kalau tak makan kenapa tak beri pada yang makan? Kenapa perlu buang? Teruk sangat perangai,” katanya.
Penulis sendiri pernah menghulurkan burger kepada seorang gelandangan sekitar Stesen Bas Pasar Seni, Kuala Lumpur namun, diperli secara terang-terangan.
“Ini sahaja ka? Tak apalah, aku tak makan. Bagi jelah duit kalau nak hulur bantuan,” balas individu berkenaan.
Sementara itu, di media sosial, ramai pengguna berkongsi pengalaman menyedihkan setiap kali menyantuni golongan berkenaan.
Aktivis kemanusiaan, Faris Ibrahim, berkata, sikap pilih kasih dalam kalangan gelandangan bukan sesuatu yang muncul tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada budaya over-servicing (tidak bertamadun) yang berlaku selama bertahun-tahun.
“Kita nak bantu, itu betul. Tapi bila banyak NGO (badan bukan kerajaan) dan individu berlumba-lumba bagi bantuan tanpa koordinasi, ada yang menerima makan hingga empat lima kali sehari.
“Bila terlalu banyak pilihan, mereka mula jadi pemilih. Ini bukan salah mereka sepenuhnya, ini kesan sistem bantuan yang tidak teratur,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa pernah mendedahkan bahawa ramai gelandangan memilih makanan disebabkan terlalu banyak yang disumbangkan.
Beliau berkata, ia berpunca daripada pengagihan makanan oleh NGO atau individu yang terlalu banyak dan tidak menepati masa ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Berikutan itu, bagi mengelakkan pembaziran, aktiviti agihan makanan kepada golongan berkeperluan dilaksanakan secara berjadual dan berpusat di beberapa lokasi yang ditetapkan di bawah seliaan DBKL.
DBKL berkata, pendekatan itu bagi memastikan setiap sumbangan makanan diagih secara teratur tanpa menimbulkan isu kebersihan, keselamatan atau kesesakan.
“Pelaksanaan berstruktur ini juga bagi memastikan agihan bantuan sampai kepada kumpulan sasar tanpa menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan imej bandar raya,” katanya.














