KUALA NERUS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sedang memantau kemunculan kenderaan komersial khususnya van dari Thailand yang dikesan sering melakukan kesalahan lalu lintas di negeri ini.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, antara aduan yang kerap diterima ialah pemandu van negara jiran tersebut gemar memotong secara berbahaya termasuk di garisan berkembar.
“Berikutan aduan diterima, kita akan memberi fokus terhadap van-van dari Thailand.
“Kenderaan tersebut dikesan memasuki laluan di negeri ini termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) melalui Kelantan,” katanya selepas mengetuai Operasi Kenderaan Perdagangan di Jeram di sini malam tadi.
Mohd. Zamri berkata, selain kenderaan komersial, tumpuan JPJ kini turut memastikan kepatuhan had muatan dalam kalangan pengendali kenderaan perdagangan.
Beliau berkata, selain kesalahan lebihan had muatan, JPJ turut memfokuskan kesalahan-kesalahan lain yang kerap dilakukan pemandu kenderaan berat seperti memandu di lorong kanan secara berterusan, memotong di garisan berkembar selain tiada lesen memandu dan insurans kenderaan.
“Selain operasi penguatkuasaan berterusan selama 16 jam sehari sejak 14 Oktober lalu, kita juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri dan kenderaan berat memberi pencerahan berhubung peraturan berkenaan.
“Pematuhan dilihat semakin meningkat namun kita menafikan kemungkinan segelintir pemandu kenderaan berat yang membawa lebih muatan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak penguatkuasaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zamri berkata, JPJ akan mengetatkan lagi penguatkuasaan termasuk menggunakan taktik penyamaran dalam kalangan anggota bagi meningkatkan lagi pematuhan. – KOSMO! ONLINE














