PASIR PUTEH – Kehidupan harian dua beranak yang tinggal di Kampung Padang Pak Amat di sini sentiasa bertemankan air mata apabila ibu dan anaknya masing-masing menderita penyakit kronik yang berbeza.
Suzilawati Ramli, 43, ketika ini hanya mampu terlantar akibat penyakit diabetes sejak tiga tahun lalu, manakala anak bongsu daripada dua beradik, Nur Aneesa Mohamad Nazruridwan, 14, pula mengalami kegagalan sebelah buah pinggang.
Menurut Suzilawati yang merupakan suri rumah, penyakit diabetes yang kronik dialaminya itu menyebabkan bahagian badan mengalami kudis dan bisul yang lambat untuk sembuh.
Katanya, dia juga tidak mampu untuk bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas secara sambilan dengan pendapatan yang tidak menentu.
“Sakit yang dialami itu membuat saya hanya terlantar di atas katil. Saya dan Nur Aneesa turut dibantu kakaknya yang berusia 17 tahun apabila bapa mereka keluar bekerja.
“Nur Aneesa perlu melalui prosedur penjagaan pundi kencing dan bergantung kepada wayar khas untuk membuang air kecil setiap tiga jam sekali,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah sewa mereka di Kampung Padang Pak Amat di sini baru-baru ini.
Suzilawati memberitahu, anaknya itu juga perlu memakai lampin pakai buang dan hanya boleh minum air mineral yang mengandungi bahan tertentu sahaja.
Menurutnya, Nur Aneesa yang masih bersekolah bergantung kepada sebelah buah pinggang selepas pembedahan yang dijalankan ketika kanak-kanak sekali gus memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.
“Atas nasihat doktor, saya dan Nur Aneesa memerlukan sekurang-kurangnya lapan botol air mineral khas setiap bulan. Kami tidak membeli air mineral mengikut jumlah itu akibat kekangan kewangan.
“Suami saya juga perlu menampung kos lampin dewasa yang mencecah hampir RM200 sebulan,” ujarnya.
Suzilawati berkata, selain pendapatan suami, keluarganya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.
Menurutnya, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dan keperluan harian apabila pendapatan suami juga perlu digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Suzilawati di talian 016- 430 8786 atau menyumbang melalui akaun CIMB miliknya, 7615 7884 57. -KOSMO! ONLINE















