SUBANG – Kontinjen Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 yang selesai menamatkan penugasan setahun di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) kembali ke tanah air dengan selamat tanpa sebarang kehilangan nyawa, meskipun beroperasi dalam kawasan berisiko tinggi yang melibatkan ancaman pertempuran antara kumpulan Hezbollah dan Israel Defense Forces (IDF).
Komander Malbatt 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh berkata, penugasan bermula pada 16 November 2024 hingga 15 November 2025 itu melalui beberapa fasa operasi termasuk fasa krisis yang memperlihatkan situasi tegang dan tembakan aktif membabitkan IDF dan Hezbollah, khususnya di sektor operasi pasukan.
“Kami telah melaksanakan penugasan di bumi Lubnan selama setahun dan Alhamdulillah semua tugasan berjaya dilaksanakan serta kami kembali tanpa sebarang kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penerimaan Kontinjen Keempat di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika fasa krisis, pertelagahan bersenjata antara IDF dan Hezbollah masih berlaku secara berterusan, menyebabkan kawasan operasi Malbatt turut menerima kesan secara tidak langsung.
“Dalam fasa krisis, IDF dan Hezbollah melepaskan tembakan antara satu sama lain. Seperti dimaklumkan Panglima Angkatan Tentera (PAT), lima anggota Malbatt 850-12 cedera selain seorang anggota Malbatt 850-11 turut terlibat ketika pergerakan dari Lapangan Terbang Rafiq Hariri ke Lubnan,” katanya.
Johan berkata, selepas beralih kepada fasa gencatan senjata, pelaksanaan operasi lebih tertumpu kepada pendekatan diplomasi masyarakat termasuk pengukuhan hubungan pihak UNIFIL dengan penduduk setempat yang dipercayai sebahagian besarnya menyokong kumpulan Hezbollah sebagai entiti pertahanan negara Lubnan.
“Untuk operasi soft power, kami melaksanakan projek Civil Military Cooperation (CIMIC) dan sebanyak 1,057 aktiviti berjaya direkodkan, menjadikan jumlah itu tertinggi dalam sektor West serta dalam UNIFIL,” katanya.
Beliau berkata, Malbatt turut berperanan dalam memperkukuh mandat UNIFIL sebelum ia disambung sehingga 31 Disember 2026.
Mengulas mengenai fasa liquidation, Johan berkata Malbatt 850-13 bakal berdepan cabaran baharu melibatkan pengurangan kekuatan anggota serta pengurusan aset di kawasan operasi.
“Pengurangan anggota sebanyak 37.6 peratus iaitu daripada 854 kepada 532 anggota memerlukan perancangan rapi termasuk menguruskan aset sama ada dibawa pulang, dilupuskan atau diserahkan kepada pihak berwajib di Lubnan,” katanya.
Ujarnya lagi, aspek kesihatan mental anggota dipantau secara berkala dan berada pada tahap baik sepanjang operasi.
Beliau turut menyentuh aspek emosional yang menjadi cabaran utama bagi setiap anggota.
“Sudah pasti kami rindu keluarga. Yang berkahwin rindu pasangan dan anak-anak, manakala bujang rindu ibu bapa. Namun yang penting kami berjaya laksanakan tugas dan pulang dengan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














