KUALA LUMPUR – Penganjuran sulung Decathlon Trail Run 2025 mencetuskan gelombang baharu buat peminat larian denai apabila berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan.
Lebih mengalakkan, ia turut merekodkan penyertaan daripada 17 negara termasuk Rusia, United Kingdom, Switzerland, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Libya.
Acara yang dianjurkan bersama The Comrades itu menawarkan pengalaman unik untuk mereka yang ingin mula menceburi dunia larian denai selain mengetengahkan konsep mesra keluarga.
Decathlon Trail Run 2025 yang berlangsung pada 16 November lalu di Kemensah Off Trail, di sini merangkumi kategori ‘fun run’ sejauh 5 kilometer (km) serta 10 dan 15km.
Jurucakap Decathlon, Zulfazli Zainal berkata, keseluruhan acara berjalan lancar dan menerima maklum balas positif daripada peserta, terutama mengenai laluan yang menawarkan pemandangan semula jadi dan panorama menarik.
Menurutnya, berdasarkan rekod, sebahagian besar peserta merupakan kali pertama menyertai acara larian denai.
“Sambutan adalah sangat menggalakkan. Pada awalnya, kita hanya sasarkan 500 hingga 800 peserta untuk semua kategori, namun tidak sangka kita terima sebanyak 1,027 penyertaan.
“Secara keseluruhan, kita terima reaksi yang positif selari dengan objektif acara ini untuk memberi pengalaman pertama larian denai kepada peserta,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zulfazli berkata, bagi kategori fun run, ia sesuatu yang mengalakkan apabila melihat keluarga menyertai acara berkenaan bersama-sama anak mereka yang berusia dalam lingkungan 6 hingga 12 tahun.
Katanya, lebih mengejutkan, pemenang kategori 10km dan 15km turut terdiri daripada mereka yang pertama kali mencuba larian denai, menunjukkan acara tersebut berjaya melahirkan peminat baharu sukan lasak itu.
Bagi kategori utama iaitu 15 km lelaki, Muhammad Faaiz Danial Zawari muncul juara dengan catatan masa 1 jam 26 minit dan 42 saat, diikuti Konstantin Kopeikin (1 jam 26 minit 56 saat) dan Nur Aimn (1 jam 36 minit).
Bagi kategori wanita, Nur Farishah Mohamad Puzi mendahului saingan dengan rekod 1 jam 58 minit, manakala Sumita Chin Siew Fern (2 jam 8 minit) dan Rozzidah Mat Lazin (2 jam 9 minit). – KOSMO! ONLINE















