PETALING JAYA – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak serius menggantung Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman yang dianggap sebagai langkah ‘sandiwara’.
Menurut alasan bertulis setebal 63 muka surat yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA hari ini, pihaknya tidak gembira apabila melihat Noor Azman masih terlibat dengan majlis rasmi FAM walaupun digantung badan induk itu sejak 17 Oktobee lepas.
“Jawatankuasa Rayuan anggap penggantungan yang dilakukan oleh FAM terhadap Noor Azman tidak dilaksanakan sepenuhnya.
“Berdasarkan laporan yang diterima serta sumber yang dipercayai, Noor Azman masih hadir ke majlis rasmi FAM termasuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi FIFA.
“Situasi ini menjelaskan bahawa hukuman tersebut lebih sekadar memulihkan reputasi berbanding tindakan yang benar-benar tegas,” kata kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Noor Azman telah bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino pada bulan lalu tetapi disahkan FAM atas kapasiti peribadi.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, pertemuan Noor Azman dan Infantino seperti yang tular sebelum ini berlaku di luar acara atau majlis rasmi FAM mahupun FIFA.- KOSMO! ONLINE














