GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2026 dengan defisit terendah dalam sejarah iaitu sebanyak RM19.92 juta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia setelah mengambil kira anggaran hasil negeri sebanyak RM1.068 bilion, berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.088 bilion.
“Belanjawan Tahun 2026 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang, iaitu sebanyak RM19.92 juta berbanding unjuran defisit tahun 2025 sebanyak RM33.63 juta,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Untuk rekod, sejak 2011 Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan bajet defisit.
Menurut Kon Yeow, anggaran hasil 2026 meningkat sebanyak RM161.44 juta atau 17.81 peratus berbanding tahun 2025.
“Dari segi pecahan hasil pula, sejumlah RM269,783,213 dianggarkan sebagai hasil cukai. Manakala sejumlah RM699,686,750 adalah hasil bukan cukai, dan sejumlah RM98,562,454 adalah terimaan bukan hasil,” katanya.
Tambah beliau, seperti lazimnya, hasil bukan cukai dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada hasil negeri melalui unjuran terimaan bayaran premium dan bayaran khas, selain faedah pelaburan yang memberi pulangan yang konsisten.
“Kerajaan negeri juga menjangkakan peningkatan hasil cukai, terutama cukai langsung melalui kadar baharu cukai tanah mulai 2026.
“Sungguhpun begitu, kerajaan negeri akan memperkenalkan rebat cukai tanah bagi memastikan pemilik tanah tidak terkesan dengan kadar cukai baharu tersebut,” katanya.
Kon Yeow berkata, anggaran Perbelanjaan Mengurus tahun 2026 sebanyak RM1.088 bilion turut meliputi caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) sebanyak RM265 juta bagi menampung komitmen perbelanjaan pembangunan negeri tahun 2026 yang berjumlah RM318.62 juta.
“Secara perbandingan, anggaran Perbelanjaan Pembangunan tahun 2026 meningkat sebanyak RM98.62 juta, atau 44.83 peratus berbanding tahun 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE














