SHAH ALAM – Seramai 2,047 daripada 68,677 individu sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh Selangor setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua senarai penerima itu melibatkan petugas Kementerian Kesihatan, klinik dan hospital swasta, petugas barisan hadapan bukan kesihatan serta pemimpin utama negeri.
“Terdapat lapan hospital dan 30 klinik di negeri ini akan beroperasi bagi melaksanakan proses imunisasi dan vaksin fasa awal itu.
“Selangor berada pada landasan tepat dan kita sememangnya memberi fokus untuk menyelesaikan fasa berkenaan terlebih dulu,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 78,000 dos vaksin Pfizer-Biontech diterima kerajaan negeri dalam Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Selangor, bermula Khamis minggu lalu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau dan barisan pemimpin negeri yang menerima suntikan itu belum menunjukkan sebarang simptom setakat ini.
“Alhamdulilah, saya dan semua Exco kerajaan negeri masih bergerak aktif dan tiada sebarang simptom.
“Kita berharap semua urusan imunisasi dan vaksinasi bagi fasa berikutnya akan turut berjalan lancar kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, SSOC merupakan satu daripada 60 inisiatif Smart Selangor bagi infrastruktur asas dalam pengurusan sebuah negeri pintar menjelang tahun 2025.
“Pusat itu bakal menempatkan beberapa agensi penting antaranya berkaitan operasi harian seperti bas, kutipan sisa, keselamatan dan pengurusan bencana serta berupaya memberi maklum balas dan maklumat terkini mengenai usaha menangani Covid-19 di Selangor,” jelasnya. – K! ONLINE














