fbpx
Mohd. Uzir pada program Sesi Libat Urus BE 2026 di Klang hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Banci Ekonomi 2026 libatkan lebih 300,000 perniagaan di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Lebih 300,000 pertubuhan perniagaan di Selangor akan dibanci Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula Februari tahun depan dalam usaha mendapatkan gambaran lengkap struktur ekonomi negeri ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bancian yang dinamakan Banci Ekonomi (BE) 2026 ini akan merangkumi semua sektor ekonomi formal serta sebahagian sektor tidak formal di seluruh negara.

“Selangor memainkan peranan penting dalam bancian ini memandangkan negeri merekodkan kira-kira 300,000 pertubuhan perniagaan, jumlah tertinggi berbanding negeri lain, dengan tumpuan terbesar di daerah Petaling.
“Negeri ini menyumbang lebih 26 peratus kepada nilai keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berdasarkan data terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Sesi Libat Urus BE 2026 Bersama Stakeholders Selangor di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Uzir, bancian tersebut akan dilaksanakan melalui empat kaedah iaitu pengisian borang secara atas talian (e-BE), penghantaran borang melalui pos, komunikasi menggunakan e-mel atau telefon, serta temu bual bersemuka.

“Dapatan bancian ini akan membantu kerajaan negeri dan Persekutuan memahami struktur ekonomi semasa, termasuk penggunaan teknologi dan automasi di tempat kerja, komposisi tenaga kerja mahir dan kurang mahir, serta sektor yang memerlukan keutamaan pembangunan.

“Data bancian juga menjadi asas perancangan strategik ekonomi di peringkat negeri dan nasional, termasuk penyediaan latihan kemahiran, dasar pelaburan, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta penambahbaikan ekosistem perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI