PETALING JAYA – Nadir bumi (REE) bakal menggantikan emas sebagai logam paling berharga dan strategik dunia dalam tempoh tiga dekad akan datang apabila bekalan emas semakin menyusut.
Biarpun nadir bumi bukan seperti emas yang boleh dijadikan barangan perhiasan, namun nilainya jauh lebih tinggi dari segi kegunaan industri dan teknologi moden yang menjadi tunjang kemajuan masa depan.
Remisier dan penganalisis pasaran modal dari Ncode Academy Sdn. Bhd., Mohd. Al Adzha Johar berkata, dunia sedang beralih kepada era baharu apabila nadir bumi menjadi tumpuan utama industri berteknologi.
Katanya, nadir bumi menjadi rebutan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat kerana unsur itu penting dalam penghasilan teknologi hijau, kenderaan elektrik, cip semikonduktor dan peralatan digital canggih.
“Tidak seperti emas yang lebih digunakan sebagai simpanan nilai, nadir bumi memainkan peranan penting dalam sektor pembuatan, menjadikannya komoditi strategik masa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, harga emas global dijangka melonjak dalam tempoh tiga dekad akan datang apabila bekalan logam berharga itu semakin berkurangan akibat penurunan mendadak dalam hasil perlombongan di seluruh dunia.
Katanya, terdapat kajian bumi kini menghampiri fasa puncak emas iaitu ketika kadar pengeluaran mencapai tahap maksimum sebelum ia mula menurun.
“Kebanyakan lombong emas utama dunia telah mencapai tahap pengeluaran tertinggi, manakala penemuan baharu semakin sukar dan mahal.
“Keadaan ini dijangka meningkatkan harga emas secara dramatik kerana permintaan global yang tinggi sama ada bagi tujuan pelaburan dan perhiasan,” katanya.
Katanya, ekoran itu juga pasaran emas dijangka beralih kepada emas kitar semula sebagai sumber utama yang mempunyai tahap ketulenan lebih rendah berbanding emas asli.
Katanya, proses pengitaran semula boleh menyebabkan penurunan kualiti, sekali gus menjejaskan nilai sebenar logam tersebut di pasaran.
“Walaupun harga emas dijangka melonjak tinggi sebelum sumber semula jadinya habis, nilai pasaran dijangka berkurangan apabila emas kitar semula mendominasi pasaran.
“Justeru pelabur perlu mengambil kira kitaran jangka panjang ini dalam strategi pelaburan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, industri berteknologi mempunyai alternatif kepada emas.
Disebabkan itu, beliau menjangkakan nadir bumi akan mengambil alih sebagai bahan ganti baharu dan logam paling berharga di dunia selepas ini.














