fbpx
KUMPULAN tarian dari SK Taman Seri Rembau melakar sejarah berjaya merangkul tempat pertama bagi tiga kategori tarian dalam The 35th International Folklore Dance and Music di Paris, Perancis pada 28 Oktober lalu.

Anak Rembau ‘mendonia’ di Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seramai 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Rembau berjaya merangkul tempat pertama bagi tiga kategori tarian dalam pertandingan The 35th International Folklore Dance and Music di Paris, Perancis pada 28 Oktober lalu.

Lebih membanggakan, pasukan dikenali sebagai Seri Baduri yang dianggotai 10 murid turut dinobatkan kumpulan terbaik keseluruhan apabila merangkul Crystal Grand Prix Dance Group Folklore.

Jurulatih tarian, Mohd. Ainuddin Mohd. Ramlan, 34, berkata, pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu membuktikan seni tarian negara berjaya menambat hati dunia.

“Ternyata usaha dan perit jerih mereka berbaloi apabila membuktikan ‘anak kampung’ berjaya membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Tarian yang dipersembahkan sehingga menarik minat juri adalah joget kreatif, tarian Murut Sabah kreatif, tarian Balqis dan tarian inang kreatif,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Ainuddin, kumpulan tarian Seri Baiduri yang terdiri daripada murid berusia 11 dan 12 tahun itu me­rangkul kategori utama daripada lebih 50 pasukan yang bertan­ding dari seluruh dunia.

“Kami turut mendapat tempat pertama kategori Solo Folklore (kanak-kanak) menerusi Ahmad Redza Yussaini Zamir dan tempat pertama Duo Folklore (kanak-kanak) yang dipersembahkan Muhammad Nur Ziqri Helmy Rizal serta Nur Imani Khairunnisa Ahmad Tajudin.

“Manakala saya sendiri mendapat tempat pertama bagi kategori Solo Folklore (dewasa),” katanya.

Beliau yang juga guru Bahasa Inggeris berkata, dia melatih anak muridnya menari sejak mereka berusia sembilan tahun dan impiannya adalah untuk membawa anak-anak ini mengharumkan nama Malaysia menerusi tarian.

Jelasnya, dia melihat maklumat mengenai pertandingan itu secara dalam talian dan membuat permohonan penyertaan yang terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Ada juga pasukan dari Malaysia yang ke pertandingan ini sebelum ini dan bagi negeri ini, saya rasa ini pasukan pertama. Untuk merealisasikan impian ini, kami perlu kumpul dana sendiri.

Beliau turut melahirkan kesyu­kuran kerana usahanya itu mendapat sokongan banyak pihak terutama Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Guru Besar SK Taman Seri Rembau, Zulkarnain Abd Kadir, tidak lupa guru yang terlibat Aimi Zahirah, Aida Sorfina, Mazlini dan Nur Shazwani Nordin,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN