LONDON – Pemain sayap Chelsea, Jamie Gittens tekad untuk terus menampilkan aksi terbaik menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Kelmarin, pemain England itu mempamerkan prestasi luar biasa apabila meledak satu gol selain melakukan dua umpanan ketika membantu The Blues mara ke suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menewaskan Wolverhampton.
Justeru, Gittens sedia untuk sekali lagi menunjukkan kemampuan sebenar ketika bertemu Spurs, lebih-lebih dia mengakui sudah semakin menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak England.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya sudah dapat membuka akaun gol bersama Chelsea. Secara jujur, saya mahu menjaringkan gol lebih awal sebaik sahaja menyertai pasukan tetapi tidak dapat melakukannya.
“Sekarang saya berasa lega kerana sasaran itu sudah dicapai. Saya harap dapat mengekalkan prestasi seperti ini sekiranya diturunkan ketika bertemu Spurs dalam Liga Perdana nanti,” katanya.
Pemain berusia 21 tahun itu turut menjelaskan, dia tidak mampu untuk menyesuaikan diri serta menjaringkan gol sekiranya tidak mendapat bantuan daripada rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Saya seronok bermain dengan rakan sepasukan di sini kerana mereka sangat berbakat serta faham permainan. Saya harap mereka akan terus membantu saya untuk menambah koleksi jaringan,” ujar Gittens. – AGENSI














