PETALING JAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) berjaya mengangkat kearifan Melayu ke persada dunia menerusi Simposium Antarabangsa Komunikasi Warisan 2025.
Penganjuran program dua hari bermula Rabu lalu di UPM, Serdang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor itu bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap disiplin Komunikasi Warisan, di samping memperkenal keunikan ilmu dan falsafah Melayu kepada masyarakat antarabangsa.
Program berkenaan turut menghimpunkan pengkaji, penyelidik dan pakar warisan dari dalam dan luar negara yang berkongsi pandangan tentang khazanah dan nilai peradaban Melayu. Bertemakan ‘Khazanah Warisan Cerminan Peradaban Bangsa’, program tersebut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang menyampaikan ucaptama.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata, penganjuran itu mencerminkan komitmen universiti melestarikan serta mengantarabangsakan warisan Melayu sebagai lambang keunggulan bangsa.
“Simposium ini menjadi usaha UPM untuk terus mengkomunikasikan kebijaksanaan generasi terdahulu yang memanfaatkan alam dan persekitaran dengan penuh hemah,” katanya.
Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, berkata, tema program berkenaan jelas menegaskan bahawa warisan Melayu bukan sekadar artifak, tetapi sumber ilmu dan panduan hidup yang wajar dihargai.
Katanya, penggunaan media baharu juga diberi penekanan sebagai medium penting memartabatkan kearifan tempatan agar warisan Melayu kekal hidup dan relevan dalam dunia moden. – habis














