BARU-BARU ini, seramai 23 sukarelawan dari Malaysia menyertai pelayaran merentas Laut Mediterranean ke Gaza, Palestin menerusi misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara itu merupakan simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Dengan slogan ‘Break The Siege, Break The Silence’ (memecahkan sekatan, memecahkan kebisuan), GSF menjadi salah satu titik tolak kepada masyarakat di peringkat antarabangsa menyokong pelayaran untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Meskipun gagal memecahkan tembok sekatan untuk masuk ke Gaza apabila kesemua peserta ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel, misi kemanusiaan itu dilihat berjaya memecahkan kebisuan apabila gerakan misi bantuan itu membuka mata dunia mengenai nasib penduduk di Gaza.
Menerusi misi kemanusiaan GSF, mesej memecahkan kebisuan itu dilihat berjaya apabila kebanyakan media antarabangsa dan pempengaruh media sosial di seluruh dunia terus bercakap selain memberi liputan mengenai isu Gaza.
Seperti diketahui umum, GSF turut disertai oleh ramai aktivis terkenal di mata dunia termasuk pempengaruh media sosial, selebriti dan media dari Malaysia, sekali gus memberi impak besar dalam menyebar maklumat atau komunikasi berkaitan isu Palestin.
Mengulas mengenai aspek memecahkan kebisuan daripada perspektif komunikasi, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara, Dr. Aziz
Azizam berkata, GSF merupakan satu kejayaan besar masyarakat dalam usaha memperkukuh solidariti global terhadap penderitaan yang berlaku di Gaza sebelum ini.
Menurutnya, impak simbolik dan politik amat besar menerusi GSF kerana berjaya menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan yang berpanjangan selain kegagalan komuniti antarabangsa menegakkan undang-undang dunia.
“Daripada sudut komunikasi dan gerakan sosial, GSF menjadi satu bentuk komunikasi simbolik amat berkesan. Ia menunjukkan kuasa masyarakat mampu menandingi dominasi negara dalam menentukan naratif dan agenda kemanusiaan.
“Melalui liputan media, media sosial dan penyertaan rentas negara, mesej GSF telah berjaya menggerakkan emosi, kesedaran sebelum berlakunya tindakan solidariti di peringkat global,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ujarnya, kejayaan GSF menerusi slogan memecah kebisuan dengan terus menjadikan komunikasi secara verbal, media atau media sosial bukan bersifat sementara kerana ia perlu diteruskan selepas misi itu tamat.
Justeru katanya, masyarakat perlu terus bercakap mengenai isu Palestin menerusi platform sedia ada melalui media arus perdana atau media sosial.
“Media arus perdana misalnya perlu terus melaporkan berita mengenai masyarakat Palestin dan keadaan politik di sana. Bagi pempengaruh yang ada ramai pengikut di media sosial perlu terus menyebar maklumat mengenai isu itu.
“Ini bagi memastikan isu Palestin kekal dalam agenda global sekali gus memberi harapan kepada rakyat Gaza bahawa dunia masih bersama mereka,” katanya.
















