NEW DELHI – Pasukan kecemasan terpaksa dipanggil untuk menolak helikopter dinaiki Presiden India, Droupadi Murmu selepas kenderaan udara itu tersangkut dalam konkrit,lapor portal berita MailOnline.
Insiden berlaku apabila helikopter tersebut mendarat di sebuah landasan sementara di kampung Pramadom, minggu ini.
Helikopter tersebut kelihatan tenggelam ke dalam konkrit yang belum kering sepenuhnya.
Selepas beliau bergerak ke Pamba melalui jalan darat, saluran televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan anggota polis dan bomba menolak helikopter tersebut keluar dari lekukan yang terbentuk apabila ia mendarat di atas konkrit.
Menurut media tempatan, landasan sementara itu disediakan dalam masa semalaman selepas keputusan dibuat untuk mengalihkan lokasi pendaratan helikopter presiden dari destinasi asalnya, Nilakkal kerana cuaca buruk.
Beberapa pegawai kemudian mengesahkan helikopter tersebut telah dipindahkan ke kawasan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Ketika kejadian, Droupadi sedang dalam rangka lawatan empat hari ke negeri Kerala. – AGENSI














