PETALING JAYA – Siapa sangka, empat hari selepas isteri meninggal dunia akibat kemalangan, suaminya pula dilaporkan menghembuskan nafas terakhir, awal pagi tadi.
Lebih terkilan, Allahyarham Nur Ihsan Nordin, 33, sempat makan dan tidur bersama dua anak perempuannya berusia enam dan empat tahun selepas dibenarkan keluar hospital malam tadi.
Ibu saudaranya, Wan Samira Wan Husin, 37, berkata, pemergian Allahyarham Nur Ihsan tidak disangka seluruh keluarga kerana lelaki itu hanya mengalami kecederaan pada tulang pinggul.
“Malam tadi selepas keluar hospital, Ise (Nur Ihsan) tidak menunjukkan tanda-tanda ingin ‘pergi’, sebab dia cuba kuat walaupun isterinya telah tiada apabila di depan anak-anak.
“Ise sempat makan bersama anak, duduk beriba, baring di atas katil dengan anak-anak. Subuh tadi, bapanya mendapati Allahyarham sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Samira berkata, pemergian pasangan suami isteri tersebut merupakan ujian berat buat mereka sekeluarga kerana kedua-dua mereka disifatkan individu yang sangat baik.
Cerita Wan Samira, kemalangan pada pukul 11 malam, Ahad lalu berlaku ketika anak saudaranya itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan dari Klang, Selangor sempena cuti panjang perayaan Deepavali.
Katanya, isteri Nur Ihsan, Wan Farahana, 34, maut di tempat kejadian selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora.
Lebih menyayat hati, hasil bedah siasat mendapati Wan Farahana hamil anak ketiga.
“Kami tidak tahu Farahana mengandung (masih) awal minggu lagi. Lepas bedah siasat baru tahu perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, Wan Samira berkata, dua anak pasangan tersebut mula mencari ibu bapa mereka mungkin disebabkan rindu.
“Tengah malam dua beradik itu sembang berdua sambil kata ‘ibu kita dekat syurga dah kan’. Kadang-kadang mereka mencari mungkin sebab terlalu rindu.
“Sekarang anak-anak Nur Ihsan dalam jagaan datuk dan nenek mereka. Mungkin mereka berdua tak faham sepenuhnya lagi bahawa ibu bapa mereka sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, di akaun TikTok Wan Farahana, Allahyarham sempat memuat naik video berpegangan tangan dengan suaminya.
Dalam video berkenaan, Allahyarham menyifatkan suaminya sebagai satu-satunya cinta dalam hidupnya dan berharap agar mereka dapat hidup bersama hingga ke akhir hayat.
“Hanyalah dirimu, teman sehidup dan semati,” tulis Allahyarham Wan Farahana. – KOSMO! ONLINE