Pada hujung minggu lalu, tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia terarah kepada pertembungan seteru utama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool menentang Manchester United (MU).
Dalam perlawanan yang berlangsung di gelanggang keramat The Reds, Stadium Anfield itu, anak-anak didik Arne Slot terpaksa tunduk 1-2 kepada MU.
Keputusan terbaharu itu bermakna kelab berpangkalan di Merseyside tersebut mencatatkan empat kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan. Episod malang skuad Liverpool bermula apabila tumpas 1-2 di tangan Crystal Palace, 0-1 (Galatasaray), 1-2 (Chelsea) dan terbaharu, 1-2 (MU).
Biarpun berjaya mencatatkan kemenangan selesa 5-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Eintracht Frankfurt awal pagi semalam, namun ia dilihat kurang menyakinkan kerana kelab Jerman itu tidak berada pada prestasi terbaik.
Sebagai peminat setia Liverpool, penulis kurang berkenan dengan pendekatan taktikal dan gaya permainan yang dibawa oleh pengendali berasal dari Belanda itu.
Jika pada musim lalu, Slot dilihat masih mengekalkan gaya ‘gegenpressing’ yang dipelopori oleh bekas pengurus The Reds, Jurgen Klopp sehingga berjaya meraih gelaran EPL.
Pada musim ini, Slot telah membelanjakan hampir £400 juta (RM2.36 bilion) untuk membawa masuk beberapa pemain bintang. Antaranya, Alexander Isak, Florian Wirst, Milos Kerkez, Hugo Eketike dan Jeremie Frimpong, sekali gus mengubah corak permainan pasukan.
Malangnya, corak permainan yang diterapkan oleh Slot cukup membosankan kerana kurangnya serangan berbahaya ke arah pintu gol lawan seperti diterapkan ketika zaman Klopp.
Malah, ketika pasukan sedang terdesak untuk memburu gol, para pemain secara santai membuat ‘back pass’ dan tidak melakukan hantaran ke depan bagi mendapatkan jaringan.
Apabila masa perlawanan tinggal kurang dari 15 minit, barulah pasukan mula serang habis-habisan untuk memburu gol penyamaan atau gol kemenangan.
Ketika mula menyerang secara ‘all-out’, ia akan menyebabkan bahagian pertahanan ‘lompong’ hingga memberi peluang kepada pasukan lawan membuat serangan balas dan menjaringkan gol.
Sementara itu, legenda Liverpool, Jamie Carragher turut mencadangkan supaya Slot merehatkan bintang Mesir, Mohamed Salah.
Salah dilihat kurang produktif di bahagian serangan apabila gagal menjadi mesin gol pasukan seperti musim lalu dengan mencatatkan 29 gol dan 18 bantuan gol.
Cadangan itu diterjemahkan dalam perlawanan menentang Frankfurt apabila Salah direhatkan daripada kesebelasan utama. Malah, kemasukan Salah pada hujung-hujung perlawanan juga tidak memberikan sebarang impak.
Jadi penulis merasakan, sudah tiba masanya Liverpool bermain tanpa kelibat Salah dalam kesebelasan utama.
Hal ini kerana, dia dilihat kurang serasi dengan pemain-pemain baharu yang dibawa masuk dan taktikal Slot pada musim ini. Selain itu, ketiadaan tukang suap bola iaitu Trent Alexander-Arnold yang berhijrah ke Real Madrid menyebabkan Salah seperti hilang arah di dalam padang.
Bahkan dalam beberapa situasi, Salah dilihat ‘tamak’ untuk menjaringkan gol, sedangkan ada pemain lain dalam kedudukan terbaik untuk berbuat demikian.














