YAN – Keputusan Tabung Haji (TH) mengekalkan kos dan bayaran untuk jemaah muassasah bagi musim haji 1447H/2026M memberi kelegaan buat rata-rata pendeposit terutama golongan warga emas.
Jamaliah Othman, 60, dari Kampung Telok Mat Acheh berkata, langkah itu membuka peluang cerah buat semua bakal jemaah untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
“Saya berasa lega apabila mendengar pengumuman TH kerana ia dapat meringankan beban, jadi saya tidak perlu menambah simpanan dalam akaun TH yang disimpan sejak lebih 15 tahun lalu.
“Sekarang saya teruja untuk menghadiri lebih banyak kursus dalam usaha mendalami pengetahuan berkaitan haji tanpa perlu memikirkan kos sebagai persiapan ke Tanah Suci sekiranya menerima tawaran kelak,” katanya semalam.
Menurut Jamaliah, sejak mula membuat tabungan di TH, dia sentiasa berdoa agar menerima tawaran untuk menunaikan haji.
“Seboleh-bolehnya saya berharap akan dipanggil segera untuk ke Tanah Suci kerana masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit.
“Selepas mendapat tahu kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat baharu apabila hanya membenarkan bakal jemaah yang betul-betul sihat sahaja menunaikan haji, saya mula menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti sukan ringan bagi menjaga kesihatan,” ujarnya.
Di Pasir Puteh, Kelantan, Hasnah Yussof, 61, berkata, langkah mengekalkan bayaran haji bagi jemaah muassasah membawa khabar gembira buat golongan pesara sepertinya yang masih menunggu giliran untuk ke Tanah Suci.
“Simpanan saya sudah mencukupi, jadi saya amat berharap agar TH dapat mempercepatkan giliran tunai haji bagi golongan seperti saya.
“Kelewatan dapat panggilan menyebabkan warga emas hanya berpeluang menunaikan haji pada usia lebih tua dan berdepan pelbagai masalah kesihatan.
“Saya mula menabung di TH sejak muda. Wang hadiah tamat perkhidmatan dan pencen juga disimpan di TH untuk tujuan haji. Jadi saya amat berharap akan dipilih sebagai tetamu Allah pada tahun hadapan,” katanya.
Seorang lagi pesara, Ismail Ahmad, 61, menaruh harapan besar untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun hadapan.
Lelaki itu turut merayu pihak TH supaya mempertimbangkan peluang khas buat warga emas untuk menunaikan haji.
“Ramai pesara yang berhajat untuk menyempurnakan rukun Islam kelima ini, namun peluang ditentukan oleh kuota dan giliran yang panjang.
“Golongan yang sudah berusia sepatutnya diberikan keutamaan sebelum uzur atau meninggal dunia,” katanya.
Terdahulu, TH mengumumkan kos dan bayaran haji bagi seorang jemaah Muassasah dikekalkan RM33,300 untuk musim haji 1447H/2026M.
Kos tersebut tidak meningkat bagi tiga tahun berturut-turut walaupun berdepan dengan persekitaran kos di Tanah Suci yang terus meningkat.
Untuk itu, kumpulan B40 perlu membayar RM15,000 (RM18,300 bantuan), M40 RM23,500 (bantuan RM9,800), manakala T20 perlu menjelaskan bayaran penuh RM33,300.














